Khamis, 20 Januari 2022

Pekerja klinik swasta, pembeli di tahan jual beli sijil vaksin palsu

Kamarul Zaman menunjukkan gambar suspek yang terlibat dengan aktiviti jual beli sijil vaksin digital palsu dalam sidang media IPK Johor. - Gambar FB Polis Johor

TIGA pekerja klinik swasta dan lima individu lain ditahan selepas kegiatan jual beli sijil vaksin palsu dibongkar pihak berkuasa pada Isnin lalu di Johor Bahru.

Penahanan itu dilakukan selepas seorang pemilik klinik swasta membuat laporan polis berhubung kegiatan berkenaan Ahad lalu.

Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pemilik klinik swasta berkenaan tidak bersetuju dengan aktiviti penjualan sijil digital vaksin tanpa suntikan oleh pekerja kliniknya.

“Bertindak atas maklumat pengadu, polis menahan lapan orang suspek di sekitar bandar raya ini membabitkan tiga pekerja klinik swasta dan lima pembeli sijil digital vaksin yang tidak mengambil suntikan vaksin Covid-19.

“Kesemua suspek berkenaan berusia antara 24 hingga 42 tahun,” katanya.

Beliau menambah, pihaknya turut merampas lapan telefon bimbit milik suspek termasuk pembeli yang mengandungi imej sijil digital vaksin tidak sah selain komunikasi perbualan antara kakitangan klinik dan pembeli berkenaan.

Selain itu, katanya, beberapa peralatan komputer dipercayai digunakan untuk mendaftarkan butiran penerima sijil vaksin digital palsu dalam sistem MySejahtera turut dirampas bagi membantu siasatan.

Katanya, kesemua rampasan akan dianalisa bagi mengenal pasti individu yang didaftarkan menerima sijil vaksin palsu di dalam MySejahtera tanpa menerima suntikan.

Tiada ulasan: