Pakar kriminologi yang
berpangkalan di UK, Kassim Noor Mohamed berkata ketua pesuruhjaya SPRM
melakukan tindakan yang betul untuk membersihkan namanya dengan menyaman
Lalitha Kunaratnam.
Seorang pakar kriminologi tidak menggelarkan aktivis Lalitha Kunaratnam sebagai “whistleblower” kerana dia tidak memenuhi kriteria, susulan beberapa artikel blog yang mendakwa mendedahkan maklumat mengenai pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.
Kassim Noor Mohamed, bekas pegawai kanan kastam yang mempunyai 20 tahun pengalaman dalam penguatkuasaan dan risikan berkata maklumat yang dikongsikan oleh Lalitha itu sebenarnya adalah maklumat awam dan boleh diakses orang ramai.
“Maklumat yang didedahkan itu – berkaitan pemilikan saham – boleh didapatkan secara terbuka kerana ia adalah maklumat awam dan bukan sesuatu yang tersorok,” katanya kepada MalaysiaNow.
“Saya tidak rasa dia memenuhi kriteria sebagai seorang ‘whistleblower’ (pendedah maklumat).”
Menurutnya, berdasarkan definisi undang-undang, Lalitha secara rela mendedahkan identitinya apabila tidak melaporkan dakwaan “salah laku” itu kepada pihak berkuasa, sebaliknya menyiarkan artikel tersebut di media dalam talian.
Katanya, ekoran tindakan itu, artikel tersebut tersebar di pelbagai platform termasuk media sosial menyebabkan ramai mengenali identitinya.
Azam sebelum ini menafikan dakwaan Lalitha yang mempunyai kaitan dengan C4 Centre, sebuah NGO yang diketuai oleh aktivis Cynthia Gabriel.
Dakwaan terhadap Azam itu juga juga turut diulangi rakan pengarah Gabriel di C4 Center, Edmund Terence Gomez, yang kemudiannya meletak jawatan daripada Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM.
Hak Azam untuk kemuka saman
Pada Rabu, Azam memfailkan saman fitnah bernilai RM10 juta terhadap Lalitha dan menuntutnya untuk membuat permohonan maaf secara terbuka selepas gagal memberikan respons terhadap surat tuntutan daripada peguam.
Tindakan Azam untuk melawan dakwaan dan membersihkan namanya di mahkamah mengundang kritikan dari beberapa pihak yang mengatakan ia adalah satu percubaan untuk menyekat kebebasan bersuara.
Namun, Kassim berkata Azam berhak untuk memfailkan saman terhadap Lalitha.
“Begitu juga Lalitha, sekiranya beliau merasakan Azam memfitnahnya, dia juga boleh menyaman Azam,” katanya.
Beliau juga berkata Lalitha tidak sepatutnya berasa takut untuk membuat laporan terhadap SPRM kerana bimbang organisasi itu akan menyebelahi Azam.
Beliau berkata, meskipun tuduhan itu melibatkan Azam, SPRM akan tetap melakukan siasatan secara profesional dan tidak akan menyebelahi sesiapa.
“Jika lihat kepada pencapaian SPRM, contohnya kes 1MDB, itu merupakan kes yang sangat rumit dan banyak tekanan daripada pelbagai pihak.
“Sebagai institusi bebas, SPRM pastinya akan pastikan setiap tuduhan disiasat dan melihat segala bukti untuk tentukan tindakan yang wajar diambil tanpa ‘pilih bulu’,” katanya merujuk kepada kes melibatkan bekas perdana menteri, Najib Razak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan