Sabtu, 8 Januari 2022

Orang Asli maut dibaham ‘Pak Belang’

Seekor harimau belang dirakam berhampiran perkampungan Orang Asli di Gua Musang,Kelantan baru-baru ini. Foto MEDIA SOSIAL

SEORANG lelaki Orang Asli maut diserang harimau belang jantan, semasa dia membuang air kecil di belakang rumahnya, dalam satu kejadian di Gua Musang, Kelantan, hari ini.

Mangsa yang berusia 59 tahun dilaporkan diseret haiwan pemangsa itu sebelum mayatnya ditemui petugas Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

Kejadian itu dimaklumkan seorang penduduk berhampiran Kampung Orang Asli Sau, Pos Bihai, Gua Musang.

Dia yang enggan dikenali berkata, harimau jantan itu mula mengganggu penduduk sejak malam semalam.

Menurutnya, penduduk kampung turut dikejar haiwan itu ketika keluar mencari ikan untuk menyambut pesta padi malam semalam tapi berjaya menyelamatkan diri.

“Pagi tadi seorang penduduk kampung berusia 59 tahun diserang harimau ketika membuang air kecil di belakang rumahnya kira-kira pukul 9 pagi,” katanya.

Mengulas lanjut dia memberitahu, anak perempuan mangsa yang sedang menumbuk padi mengesyaki sesuatu berlaku terhadap ayahnya, selepas terdengar bunyi anjing menyalak.

Ujarnya, penduduk kampung kemudiannya pergi memeriksa di belakang rumah mangsa, sebelum menemui kesan darah.

“Penduduk kampung tidak lama kemudian terserempak sekali lagi harimau itu. Ia cuba menerkam, namun sempat dibaling dengan lembing hingga mengenai matanya,” tambahnya.

Sementara itu, pasukan PERHILITAN tiba tidak lama kemudian dan mengarahkan semua penduduk berkurung di dalam rumah.

Kata penduduk kampung itu lagi, harimau belang seberat lebih 100 kilogram itu berjaya ditemui mereka tengah hari tadi di hutan berhampiran.

“Pekerja PERHILITAN terpaksa melepaskan tembakan selepas harimau itu cuba menyerang mereka. Harimau itu berjaya dibunuh dan dibawa keluar dari hutan.

“Pada masa sama mayat mangsa berjaya ditemui di dalam hutan. Dia dipercayai diseret harimau itu,” katanya.

Dia menambah, penduduk kampung berterima kasih terhadap tindakan pantas PERHILITAN yang berjaya menjejaki harimau belang itu.

Tiada ulasan: