Isnin, 10 Januari 2022

Obor-obor beracun ‘singgah lagi’ di pantai Terengganu

HARAKAH DAILY
 

KUALA TERENGGANU: Orang ramai yang berada di sekitar pantai Kampung Kelulut dan Pulau Kerengga di daerah Marang dinasihatkan untuk berwaspada ekoran penemuan obor-obor beracun spesies Portuguese man o’war.

Pengarah Perikanan negeri, Ruzaidi Mamat berkata, hasil tinjauan dijalankan pada Ahad mendapati terdapat obor-obor itu dilihat muncul kembali di persisiran pantai di Terengganu susulan musim Monsun Timur Laut yang berlaku buat masa ini.

“Setakat pagi ini kita menemukan empat ekor obor-obor yang terdampar di pantai. Tinjauan masih lagi dijalankan dan kita tidak menolak kemungkinan masih terdapat lagi obor-obor spesies sama yang terdampar di kawasan pantai

“Orang ramai perlu lebih berhati-hati dan tidak melakukan aktiviti pantai di kawasan spesies ini ditemui. Walaupun kes yang membawa maut sangat jarang berlaku namun perlu berhati-hati,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambah beliau, obor-obor besaiz kecil yang biasanya mendiami Lautan Pasifik itu dilihat di perairan Pantai Timur pada Februari 2020.

“Kajian sebelum ini pernah merekodkan lebih 1,000 obor-obor itu terapung di perairan Lautan Hindi. Ia bergerak dengan cara hanyut dibawa arus atau angin. Untuk mengelakkan ancaman di permukaan, ia boleh mengempiskan beg udara dan tenggelam buat seketika,” katanya.

Dalam pada itu, Ruzaidi meminta orang ramai supaya lebih berwaspada dengan kemunculan hidupan itu kerana obor-obor api itu ia disifatkan antara spesies berbahaya kerana sengatannya boleh melumpuhkan mangsa selain menyebabkan kulit melecur dan membawa maut.

“Sengatan obor-obor ini amat menyakitkan. Obor-obor yang sudah mati dan dihanyutkan ke pantai juga boleh menyebabkan sengatan jika tersentuh pada badan.

“Walaupun obor-obor ditemui sudah mati, individu dinasihatkan untuk tidak menyentuh bangkai obor-obor tersebut kerana ianya masih beracun dan sangat berbahaya. Jika terkena sengatan, segera ke klinik atau hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Justeru itu, orang ramai yang menemui obor-obor itu perlu melaporkannya kepada Jabatan Perikanan untuk tindakan lanjut. – TRDI.my

Tiada ulasan: