MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin menegaskan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mendapat sokongan penuh daripada beliau untuk kekal menjalankan tugas sebagai Ketua Pengarah Kesihatan.
Perkara itu dinyatakan Khairy dalam Twitter beliau – respons kepada kenyataan seorang ahli Parlimen kerajaan hari ini yang mempersoalkan strategi Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menangani wabak COVID-19.
Menurut beliau, KKM berjaya mengurus kes positif dengan berkesan manakala vaksinasi meningkat di samping sentiasa menekankan aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
“#TRIIS (ujian. (test), lapor (report), mengasingkan (isolate), memaklumkan (Inform) dan dapatkan rawatan) agar kadar kematian turun, penggunaan ICU turun dan kemasukan hospital turun,” kata Khairy dalam ciapannya.
Terdahulu Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing dilaporkan mempersoalkan mengapa Malaysia tidak menggunakan lebih banyak strategi antiwabak dari China.
Bagi King Sing, KKM perlu mendapatkan nasihat China yang terbukti berjaya mengawal penularan COVID-19 sekali gus menimbulkan persoalan sama ada Noor Hisham yang merupakan pakar bedah adalah individu tepat dalam mengetuai urusan memerangi COVID-19.
Dalam hal ini, Khairy mengingatkan pendekatan China adalah total lockdown walau ada hanya tiga kes positif.
Kata beliau, hal itu tidak mampu dilakukan di Malaysia kerana kesannya kepada ekonomi dan rakyat.
Menerusi Twitter beliau, Khairy berkata, memang tidak dinafikan pendekatan China berkesan.
“Namun strategi mereka iaitu ‘containment’ atau ‘zero COVID’ bermaksud total lockdown bila ada hanya tiga kes positif.
“Malaysia tidak mampu dari segi ekonomi dan kebajikan rakyat untuk lockdown. Strategi kita mitigation,” katanya.
Dalam ciapan itu, Khairy turut menyertakan tangkap layar laporan berita bagaimana sebuah bandar di China iaitu Yuzhou diletakkan dalam sekatan pergerakan penuh hujung bulan lalu susulan kewujudan tiga kes positif COVID-19.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan