SHAH ALAM: Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan membina semula 32 rumah asnaf fakir dan miskin yang terjejas akibat banjir pada pertengahan bulan lalu, manakala 150 lagi unit akan dibaik pulih.
Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M Yusop, berkata buat masa ini kerja bancian serta taksiran masih dilaksanakan agensi berkenaan di lapan daerah yang terjejas banjir bagi mengenalpasti asnaf yang memerlukan bantuan.
"Proses pembinaan dijangka akan bermula bulan hadapan dan LZS memperuntukkan sejumlah RM93,000 bagi pembinaan semula rumah (termasuk kos rawatan tanah dan lain-lain).
"Bagi rumah yang akan dibaik pulih, LZS menyediakan peruntukan RM31,500 mengikut jenis kerosakan dan sehingga rumah siap, mereka akan ditempatkan di rumah yang kita sewakan," katanya selepas mengadakan lawatan ke Kampung Bukit Lanchong, dekat sini, hari ini.
Mengulas mengenai keadaan rumah penduduk di Kampung Bukit Lanchong, Saipolyazan berkata, terdapat sebuah rumah asnaf perlu dibina semula manakala 24 lagi akan dibaik pulih.
Katanya, hasil bancian awal yang dilakukan oleh Penolong Amil Kariah turut mendapati 50 rumah lagi terjejas dan akan dilakukan pemeriksaan sama ada layak dikategorikan sebagai asnaf.
"Jika mereka layak dikategorikan sebagai asnaf, kita akan bantu dan jika tidak maklumat berkenaan akan diserahkan kepada agensi kerajaan negeri dan Persekutuan untuk tindakan susulan," katanya.
Dalam pada itu, Saipolyazan berkata, agensi itu menjangkakan pertambahan asnaf fakir miskin sehingga 72,000 pada tahun berikutan bencana banjir dan penamatan moratorium.
Katanya, mengikut rekod, jumlah terkini asnaf berdaftar adalah 65,000 manakala 15,000 asnaf miskin sementara turut direkodkan susulan pandemik COVID-19.
Sementara itu, Saipolyazan berkata, sebanyak 30,000 permohonan bantuan Zakat Peduli Selangor untuk mangsa banjir sudah diluluskan dengan menerima RM600 secara one-off sejak 28 Disember lalu.
Katanya, permohonan masih dibuka sehingga 31 Januari ini.
Sementara itu, seorang asnaf LZS, Sewah Samidjo, 65, bersyukur apabila agensi berkenaan akan membantu proses baik pulih rumahnya yang ditenggelami air susulan banjir baru-baru ini.
"Saya adalah Orang Kelainan Upaya (OKU) sejak lahir dan LZS banyak membantu saya berkaitan ubat-ubatan, makanan asas, wang belanja dan sekarang mereka juga akan bantu baikpulih rumah saya.
"Rumah saya dimasuki air sehingga dua meter dan syukur ketika itu isteri, anak perempuan serta cucu saya tiada dirumah yang mana saya dibawa keluar dari rumah ini ke kawasan yang tinggi oleh seorang rakan ketika air di paras pinggang," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan