Selasa, 11 Januari 2022

Lima negeri selesai agih BWI

BH ONLINE
Antara penduduk Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam yang terkandas akibat banjir bermula 18 Disember lalu. - NSTP/ASWADI ALIAS
Antara penduduk Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam yang terkandas akibat banjir bermula 18 Disember lalu. - NSTP/ASWADI ALIAS

KUALA LUMPUR: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menyalurkan peruntukan sejumlah RM106 juta kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan kerajaan negeri, untuk agihan Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada mangsa banjir setakat hari ini.

NADMA dalam kenyataan hari ini memaklumkan, lima negeri iaitu Melaka, Kelantan, Kuala Lumpur, Terengganu dan Perak sudah menyelesaikan sepenuhnya agihan BWI kepada ketua isi rumah terjejas banjir.

"Sehingga jam 10 malam semalam, sebanyak 50,939 ketua isi rumah telah menerima bantuan secara tunai daripada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).

"Seramai 2,558 ketua isi rumah menerima serahan tunai di rumah dan 329 lagi menerusi transaksi 'Electronic Fund Transfer' (EFT).

"Untuk status agihan bagi ketua isi rumah yang terkesan banjir gelombang kedua, daripada 9,887 ketua isi rumah yang didaftarkan, 921 telah menerima BWI," kata kenyataan itu.

Bagi agihan BWI membabitkan kematian, NADMA menyatakan, daripada 57 kes yang dilaporkan, 40 waris telah menerima bantuan RM10,000 dengan 18 daripada jumlah itu menerima tunai di PKOB manakala 22 waris lagi dibuat serahan di rumah.

Selain itu, menurut laporan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia, sejumlah 319 ketua isi rumah membuat permohonan baucar diskaun barang elektrik.

"Menurut anggaran awal Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB), hampir 80,000 bilangan isi rumah terkesan dengan bencana banjir ini.

"Bantuan ini adalah untuk agihan kepada rumah kediaman pengguna atau pemilik akaun elektrik berdaftar (domestik) yang terkesan oleh banjir dan tersenarai sebagai mangsa bencana oleh PKOB," kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) memaklumkan berlaku pertambahan satu kejadian tanah runtuh di Terengganu, menjadikan keseluruhan kejadian tanah runtuh sepanjang tempoh Monsun Timur Laut 2021/2022 di seluruh negara adalah 269.

Jabatan Kerja Raya (JKR) turut melaporkan sehingga hari ini, sebanyak 58 lokasi kejadian cerun runtuh dan tanah runtuh di seluruh negara.

Sementara itu, NADMA memaklumkan sehingga jam 2 petang tadi, tiga negeri dilaporkan masih terkesan dengan bencana banjir membabitkan tujuh daerah di Pahang, Johor dan Melaka.

"Menurut laporan MetMalaysia, sehingga 3 petang hari ini, tiada amaran hujan berterusan berkuat kuasa. Cuaca semasa di Semenanjung dilaporkan baik manakala hujan berterusan dijangkakan di barat Sarawak pada 11 hingga 13 Januari ini," katanya. – BERNAMA

Tiada ulasan: