Ahad, 16 Januari 2022

Letusan gunung berapi: Tiada ancaman tsunami kepada Malaysia

LETUSAN gunung berapi dasar laut yang berlaku di perairan Tonga semalam tidak mengakibatkan ancaman tsunami kepada Malaysia. FOTO USGS

LETUSAN Gunung Berapi Hunga Tonga-Hunga Haʻapai yang berlaku di perairan Tonga semalam tidak mengakibatkan ancaman tsunami kepada Malaysia.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata, ia berdasarkan kepada pemantauan berterusan, semakan bacaan tolok pasang surut serta boya antarabangsa dan tempatan, serta maklumat laman
sesawang Regional Tsunami Service Providers (RTSP).

Namun katanya, Jabatan Meteorologi akan sentiasa memantau secara berterusan perkembangan kejadian ini.

“MetMalaysia akan memaklumkan sebarang perkembangan terkini yang berkaitan dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Muhammad Helmi berkata, orang ramai boleh mendapatkan maklumat gempa dan amaran tsunami terkini melalui laman web Jabatan Meteorologi Malaysia.

Katanya, orang ramai boleh melayari laman web www.met gov.my, aplikasi mobil myCuaca, media sosial rasmi MET Malaysia serta Hotline di talian 1-300 22-1638.

Sementara itu, selain Tonga, Jepun turut melaporkan beberapa kejadian tsunami susulan letusan gunung berapi dasar laut itu.

Agensi Meteorologi Jepun melaporkan tsunami setinggi 1.2 meter mencecah pulau terpencil selatan Amami Oshima sekitar 11:55 malam tadi sebelum kawasan lain di sepanjang pantai Pasifik Jepun menyaksikan tsunami yang lebih kecil.

Pantai timur pulau paling utara Hokkaido serta wilayah barat daya Kochi dan Wakayama juga menyaksikan tsunami setinggi 0.9 meter sejurus selepas tengah malam.

Tiada ulasan: