Jumaat, 14 Januari 2022

KPMG bayar RM340.92 juta penyelesaian 1MDB

Penyelesaian AmBank

MALAYSIA telah menerima wang penyelesaian berjumlah RM340.92 juta (AS$80 juta) daripada KPMG yang telah disalurkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset Malaysia.

Penyelesaian itu susulan daripada pengumuman pada 16 September tahun lalu di mana KPMG bersetuju menyelesaikan saman sivil yang difailkan oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadap mereka.

Secara keseluruhan, Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset Malaysia di bawah seliaan Jabatan Akauntan Negara telah pun menerima sejumlah RM19.138 bilion setakat ini berhubung skandal kewangan 1MDB.

Dana tersebut telah atau akan digunakan untuk menyelesaikan hutang tertunggak 1MDB.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sehingga kini, kerajaan telah membayar balik sebanyak RM13.3 bilion hutang 1MDB.

Menurut beliau, hutang terkumpul pada 31 Disember 2021 yang terdiri daripada prinsipal dan keuntungan untuk bon serta sukuk adalah berjumlah RM38.81 bilion.

“Walau bagaimanapun, baki semasa akaun amanah itu adalah mencukupi untuk membayar jumlah prinsipal bon untuk tahun 2022 sahaja.

“Apabila semua dana akaun amanah itu telah digunakan, kerajaan akan terus menanggung obligasi untuk membayar baki hutang 1MDB yang penerbitannya disokong oleh jaminan dan surat sokongan kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Kementerian Kewangan menegaskan kerajaan kekal komited dalam usaha pemulihan aset 1MDB.

Pada masa sama, kerajaan akan sentiasa memastikan peruntukan yang mencukupi untuk menyelesaikan hutang 1MDB bagi menguruskan beban kewangan negara yang diakibatkan oleh entiti ini.

“Kementerian Kewangan ingin merakamkan penghargaan kepada Jabatan Peguam Negara; Suruhanjaya Sekuriti; Bank Negara Malaysia (BNM); Pasukan Polis Diraja Malaysia; Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional; Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah atas usaha mereka dalam mencapai penyelesaian ini,” jelas beliau.

16 September lalu, Kementerian Kewangan mengumumkan KPMG telah bersetuju dengan penyelesaian bernilai AS$80 juta bagi memenuhi semua tuntutan berkaitan tanggungjawab fidusiari dalam pengauditan akaun 1MDB untuk tempoh 2010 hingga 2012.

Penyelesaian itu mengakhiri tuntutan sivil yang difailkan pada 6 Julai 2021 terhadap KPMG.

Tiada ulasan: