Jumaat, 21 Januari 2022

Ketetapan baharu solat Jumaat setelah dapat nasihat pengarah kesihatan

HARAKAH DAILY
Sultan Sharafuddin Idris Shah

KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah memberi perkenan bagi membenarkan penggunaan sepenuhnya ruang solat utama dan ruang limpah di semua masjid dan surau yang mendapat kebenaran solat Jumaat di negeri itu digunakan bagi menunaikan solat fardu Jumaat.

Istana Alam Shah memaklumkan baginda turut berkenan bagi jarak antara satu jemaah dengan jemaah yang lain ditetapkan dengan jarak 1.0 meter.

“Ketetapan baharu ini diputuskan setelah baginda mendapatkan nasihat dan pandangan daripada Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, berpandukan statistik dan data terkini mengenai penularan wabak Covid-19.

“Pelaksanaan ketetapan baharu ini berkuat kuasa pada hari Jumaat bertarikh 21 Januari 2022,” ujar Istana Alam Shah dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook Selangor Royal Office, hari ini.

Kenyataan itu menyatakan ketetapan baharu itu juga akan memberi kesan peningkatan kapasiti bilangan jemaah di seluruh negeri sehingga 35 peratus tertakluk kepada kapasiti sesebuah masjid dan surau.

Bagaimanapun, ujar kenyataan itu baginda menyeru para jemaah agar terus mematuhi SOP yang ditetapkan oleh pentadbir masjid dan surau.

“Baginda juga mahu agar setiap jemaah telah menerima suntikan dua dos vaksin dan juga dos penggalak Covid-19.

“Menerusi setiap keputusan yang diambil, Baginda sentiasa memikirkan keselamatan nyawa rakyat di Negeri Selangor,” tambah kenyataan itu.

Ini kerana, ujarnya mengikut statistik semasa, jumlah kematian akibat Covid-19 di negeri Selangor sahaja telah melebihi 10,000 orang.

Kenyataan itu merujuk kepada kenyataan media yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 18 Januari lalu.

JAIS menerusi kenyataan media itu membenarkan penggunaan sepenuhnya ruang solat utama dan ruang limpah di semua masjid dan surau, yang mendapat kebenaran solat Jumaat di negeri itu bagi menunaikan solat Jumaat berikutan perkenan Sultan Selangor, berkuat kuasa esok. HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: