Jumaat, 21 Januari 2022

Kes baharu lepasi 4,000, petugas diarah segera ambil dos penggalak

Jangkitan baharu Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi meningkat lagi, melepasi angka 4,000 berbanding jumlah kes positif semalam, tatkala Kementerian Kesihatan (KKM) mengarahkan kakitangannya mendapatkan suntikan dos penggalak.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh itu, 4,046 kes positif baharu direkodkan, berbanding 3,764 kes semalam.

Jumlah itu katanya menjadikan keseluruhan kumulatif positif sebanyak 2,824,973 kes, dengan sehingga semalam 2,747,457 pesakit telah sembuh dan 31,853 pesakit meninggal dunia.

Sehingga semalam, 41,617 kes dilaporkan masih aktif, dengan seramai 34,722 pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah; 4,048 ditempatkan di PKRC; 2,687 dimasukkan ke hospital; dan 160 pesakit dirawat di unit rawatan rapi, termasuk 72 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, beliau memaklumkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian semalam, untuk seluruh negara kekal pada nilai 1.0.

Bagaimanapun, tujuh negeri dan Wilayah Persekutuan berada pada nilai Rt melebihi 1.00, di mana menurut pakar kesihatan nilai Rt berada pada tahap membimbangkan apabila ia melepasi nilai 1.00 dengan lebih ramai individu berpotensi untuk dijangkiti.

Berdasarkan perkongsian Dr Noor Hisham, Kuala Lumpur mencatat nilai Rt 1.13, diikuti Negeri Sembilan (1.06); Kedah (1.04); Johor (1.03); Melaka (1.02); Sabah (1.01); dan Selangor (1.00).

Untuk rekod, nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan virus iaitu berapa ramai individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Terdahulu beliau meminta semua petugas barisan hadapan, khususnya sektor kesihatan sama ada kerajaan atau swasta supaya segera mendapatkan suntikan dos penggalak.

Merujuk kepada ribuan kakitangan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) Britain yang tidak hadir bertugas susulan lonjakan jangkitan varian Omicron, Dr Noor Hisham berkata KKM perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan.

“Beribu-ribu kakitangan NHS tidak bekerja setiap minggu di London kerana lonjakan besar kes omicron, menyebabkan hospital bergelut untuk menghadapi tahap ketidakhadiran kakitangan yang belum pernah terjadi sebelumnya.

“Kepada semua petugas barisan hadapan dan semua kategori pekerja kesihatan di sektor awam dan swasta, sila dapatkan dos penggalak anda segera untuk mengelakkan kekurangan dan ketiadaan kakitangan di fasiliti kesihatan kita.

“Kita perlu bersedia dengan segala kemungkinan dan mengharapkan yang terbaik untuk meminimumkan kesan gelombang Omicron,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tiada ulasan: