SEMUA pihak perlu menegakkan kedaulatan undang-undang atau ‘rule of law’ di dalam kes yang melibatkan penjawat awam dan tidak sewenang-wenangnya menghukum mereka melalui perang media, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata.
Mengulas mengenai tuduhan urusniaga saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki, Menteri Belia dan Sukan itu berkata, semua pihak mesti memberi ruang supaya siasatan dapat dijalankan ke atas tuduhan tersebut.
“Beri ruang seluas-luasnya supaya siasatan dapat dijalankan tanpa prejudis oleh pihak berkuasa – baik Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti dan siasatan dalaman oleh SPRM sendiri,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, tuduhan yang membabitkan penjawat awam tidak seharusnya sewenang-wenangnya dihukum melalui perang media kerana adakalanya mereka dijadikan sasaran kerana ketegasan dalam menjalankan tugas.
“KP SPRM Tan Sri Azam Baki telah membuat penjelasan berkenaan isu ini pada 6 Januari 2022, menunjukkan integriti beliau yang tinggi sebagai penjawat awam yang mengamalkan sifat keterbukaan.
“Kerelaan beliau untuk disiasat oleh pihak berkuasa juga harus dipuji dan isu kebertanggungjawaban beliau sebagai KP SPRM tidak harus dibangkitkan di dalam hal ini,” katanya.
Ahmad Faizal berkata, kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 8 Januari 2022 yang menyatakan siasatan sedang dijalankan oleh pihak berkuasa juga menolak dakwaan kerajaan berdiam diri di dalam kes tersebut.
Katanya, penjelasan oleh Datuk Dr Marzuki Mohamad, bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Malaysia kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, juga menunjukkan bahawa pelantikan Azam Baki adalah di bawah peruntukan Seksyen 5 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
“Di bawah seksyen ini, KP SPRM dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri,” tambahnya.
Katanya, suara-suara yang nyaring di dalam media yang menggembar-gemburkan isu urusniaga saham tersebut dan mahu Azam Baki dilucutkan jawatan nampaknya mempunyai agenda tertentu apabila tidak menurut ‘rule of law’ di mana ‘innocent until proven guilty’ (tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah) adalah asas keadilan.
“Nampaknya, mereka ingin menghukum Azam Baki sebelum ada perbicaraan dan bukti yang kukuh menurut undang-undang negara,” katanya.
Beliau berkata, agensi SPRM adalah amat penting di dalam agenda membanteras rasuah dan perang media sebegini untuk memulaukan Azam Baki dengan memainkan isu sebegini nampaknya bertujuan memberi persepsi negatif kepada reputasinya sebagai Ketua Pengarah dan SPRM sendiri.
Penjawat awam, khasnya SPRM perlu terus menjalankan tugas mereka dengan berani dan tidak harus takut menjalankan amanah mereka hanya kerana ada pihak tertentu yang berkomplot menjatuhkan imej penjawat awam sebelum ada bukti kukuh dan perbicaraan mahkamah, katanya. – UtusanTV
Tiada ulasan:
Catat Ulasan