Sabtu, 15 Januari 2022

Kempen BMF wajar diangkat sebagai agenda nasional

 Athirah Huda Zalhe

Usaha Pahang patut dijadikan contoh kepada negeri-negeri lain: PEMBELA

BANGI – Bukan sekadar berlegar di peringkat pengguna semata-mata, Kempen Beli Produk Muslim atau ‘Buy Muslim First’ (BMF) sepatutnya sudah menjadi agenda kerajaan negeri dan Persekutuan.

Bahkan, roh kempen itu juga sewajarnya menjadi paksi kepada dasar-dasar kerajaan selain turut diangkat sebagai agenda nasional, kata Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya.

“Ya lah, yang dahulunya sibuk menempel di program-program BMF anjuran NGO adalah orang-orang politik yang hari ini sudah menjadi kerajaan pun.

“Sebenarnya, jika kempen BMF ini dijadikan agenda nasional utama kepada dasar-dasar kerajaan, maka banyak perkara yang mampu kita selesaikan dalam jangka masa panjang, seperti isu Tanah Rizab Melayu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Aminuddin turut berterima kasih pada Jabatan Mufti Negeri Pahang dan Jabatan Agama Islam Pahang atas usaha proaktif yang meletakkan agenda BMF ke tahap lebih tinggi, termasuk menekankan kempen itu melalui platform khutbah Jumaat.

Beliau berkata, usaha Jabatan Agama Islam Pahang dan Jabatan Mufti negeri itu telah menjadikannya sebagai contoh untuk diikuti oleh negeri-negeri lain.

“Platform di khutbah Jumaatlah sebenarnya yang terbaik untuk menerangkan bagaimana BMF mampu memanfaatkan umat Islam secara keseluruhannya dan memperbetulkan segala salah faham yang selama ini timbul.

“Teks dalam khutbah Jumaat negeri Pahang ini sangat cermat dan cantik susun katanya bagi menyeru umat Islam istiqamah dengan BMF. Saya tidak tahulah kalau ada juga yang ‘panas hati’.

“Ada yang mencadangkan kepada saya, agar kita buat pelancaran BMF secara besar-besaran kali kedua bagi membangkitkan gelombang semangat memperkasakan ekonomi muslim. Idea yang menarik. Apa pendapat anda?,” soalnya.

Semalam, teks khutbah Jumaat di Pahang menyeru umat Islam supaya istiqamah mengutamakan membeli produk keluaran muslim yang akan memberikan kepada umat Islam itu sendiri.

Khutbah itu menyebut dengan jelas bahawa BMF bukanlah slogan untuk memboikot produk ‘non muslim’, tetapi bagi memberi kesedaran kepada umat Islam agar mengutamakan membeli produk muslim bagi memberikan kebaikan kepada umat Islam.

“Apabila para peniaga muslim itu bertambah maju, maka mereka dapat mengeluarkan zakat dan bersedekah untuk kebaikan umat Islam. Perkara ini sepatutnya menjadi amalan sepanjang hayat dalam hidup kita, bukan bermusim,” kata khutbah.

Tiada ulasan: