Sabtu, 22 Januari 2022

Kedah alami cuaca panas hingga 35 darjah Celsius

  BERNAMA

PENDUDUK Kedah dinasihatkan supaya mengelak daripada melakukan aktiviti luar berikutan cuaca panas yang melanda negeri itu ketika ini.

Pengarah Pejabat Meteorologi Kedah, Muhammad Khalil Abd Aziz berkata, orang ramai juga digalakkan meminum banyak air berikutan cuaca panas ketika ini boleh mencecah sehingga 35 darjah Celsius.

Menurut Muhammad Khalil, hampir semua daerah di negeri ini dilanda cuaca panas dan pihaknya menjangkakan suhu bertambah panas sekiranya tiada hujan.

 “Berdasarkan rekod bilangan hari tanpa hujan mencatatkan daerah Kota Setar merekodkan 20 hari tanpa hujan, Pulau Langkawi pula 17 hari dan manakala Sik serta Kuala Muda masing-masing 12 hari.

“Malah setakat ini catatan suhu tertinggi direkodkan di Stesen Charok Padang, Sik pada Sabtu lalu dengan bacaan 35.3 darjah Celcius.

“Selain itu suhu maksimum harian pula dijangka terus meningkat dari semasa ke semasa,” katanya kepada Astro AWANI hari ini.

Muhammad Khalil turut menasihatkan supaya aktiviti pembakaran terbuka tidak digalakkan dilakukan dan tidak sesuai ketika musim kering disebabkan haba panas ketika ini.

Katanya, keadaan ini berlaku berikutan Kedah kini berada di fasa kedua Monsun Timur Laut iaitu secara amnya negeri di bahagian utara Semenanjung akan mengalami kering sedikit.

“Dijangkakan cuaca panas yang melanda negeri ini pada waktu ini berlarutan sehingga hujung Mac atau awal April depan.

“Namun, cuaca panas ini dijangka kembali normal pada hujung Mac atau awal April nanti,” katanya.

Tiada ulasan: