Selasa, 18 Januari 2022

'Elak sertai, anjur sebarang perhimpunan di ibu negara'

KUALA LUMPUR: Polis meminta orang ramai tidak menyertai atau menganjurkan sebarang perhimpunan kerana Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Empat masih dikuat kuasakan di seluruh negara termasuk di ibu negara.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, berkata pihaknya ada menerima maklumat berhubung satu perhimpunan bakal diadakan di ibu negara, dalam masa terdekat.

"Ada pihak tertentu sentiasa mengambil peluang mengadakan perhimpunan atau perarakan, yang mana jelas melanggar prosedur operasi standard (SOP) PPN Fasa Empat.

"Selain itu, polis juga tidak menerima sebarang permohonan mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka mengikut peruntukan Akta Perhimpunan Aman 2012," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan tular satu poster di media sosial mendesak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki ditangkap dan SPRM dirombak.

Pada poster itu tertera perkataan 'Tangkap Azam Baki' dan 'Rombak SPRM' selain tarikh 22 Januari 2022 iaitu pada Sabtu ini dan 'Kuala Lumpur'.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, dipetik berkata pihaknya sedang mengumpul maklumat bagi mendapatkan pengesahan berhubung dakwaan satu perhimpunan akan diadakan pada hari berkenaan.

Sementara itu, Noor Dellhan meminta semua masyarakat memahami kepentingan mematuhi SOP PPN Fasa Empat dengan sentiasa memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal dan mengelak berada di kelompok ramai.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau pertanyaan supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03- 2159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Tiada ulasan: