Jumaat, 14 Januari 2022

Ekspo 2020 Dubai ‘jendela’ Malaysia tembusi pasaran dunia – Annuar Musa

EKSPO 2020 Dubai yang disertai Malaysia disifatkan sebagai ‘jendela peluang’ dalam memastikan perkembangan Malaysia setaraf negara lain, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata penglibatan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) mencatatkan kejayaan susulan pemeteraian 13 memorandum persefahaman oleh syarikat-syarikat Malaysia yang menyertai Minggu Ekonomi Digital Malaysia.

“Bagi Kementerian Komunikasi dan Multimedia kita mengambil kesempatan sepenuhnya daripada Minggu Ekonomi Digital Malaysia untuk membolehkan inovasi daripada syarikat-syarikat dan usahawan dari negara kita membuat libat urus dan kerjasama dengan syarikat lain.

“…ekspo ini adalah peluang terbaik yang saya harap terutama sekali dari sudut perkembangan syarikat Malaysia yang menceburkan diri dalam ekonomi digital, saya harap ekspo ini menjadi peluang untuk mereka mendapatkan rakan kongsi, kerjasama,” katanya.

Selain itu, beliau menyifatkan pertemuannya dengan syarikat negara luar yang bekerjasama dengan syarikat tempatan (Malaysia) sebagai ‘eye-opener’ untuk beliau menggalakkan syarikat tempatan menyertai pasaran secara global, khususnya dalam bidang inovasi, kreatif serta bidang melibatkan ekonomi digital.

Beliau berkata demikian selepas melawat beberapa pavilion negara luar termasuk Sweden, Slovenia dan Australia di Ekspo 2020 Dubai hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan dengan beberapa wakil negara di pavilion berkenaan termasuk Pengarah Pemasaran Ericsson Jason Selen bagi berbincang mengenai kesalinghubungan di Malaysia.

Kesalinghubungan adalah aspek penting dalam mencapai aspirasi bagi menjadikan Malaysia sebagai Hab Nomad Digital pilihan rantau ini, program yang diperkenalkan dalam Bajet 2022.

Annuar mengadakan lawatan kerja di Dubai bermula 10 hingga 13 Jan dan beliau mengumumkan Minggu Ekonomi Digital Malaysia sempena Ekspo 2020 Dubai semalam.

MDEC menyasar untuk menarik pelaburan komited bernilai lebih RM300 juta, serta 50 prospek perniagaan yang layak semasa Minggu Ekonomi Digital Malaysia bermula dari 9 hingga 15 Jan di Ekspo 2020 Dubai.

Dari 9 hingga 15 Jan, MDEC akan mengetuai satu delegasi terdiri daripada 20 syarikat Malaysia ke Ekspo 2020 Dubai sebagai sebahagian daripada program Minggu Ekonomi Digital Malaysia.— BERNAMA

Tiada ulasan: