Isnin, 17 Januari 2022

Daniel ‘kencing’ netizen, datuk tak minta belikan ubat

MALAYSIA POST

Daniel ‘kencing’ netizen, datuk tak minta belikan ubat

RUPANYA netizen ‘dikencing’ dengan cerita remaja yang didapati cuba mencuri tabung masjid dan dimandikan ala jenazah.

Malah, dakwaan remaja bernama Daniel Iskandar Mohd Nasir terpaksa mencuri kerana ingin membeli ubat kencing manis datuknya juga tidak benar dan hanya rekaannya semata-mata.

Datuknya, Rosli Sidek, 65, tampil mengesahkan perkara itu, malah memaklumkan tidak perlu cucunya sampai menjadi pencuri kerana dia masih mempunyai wang berikutan mendapat bantuan Lembaga Zakat Selangor.

“Saya tidak pernah suruh dia beli ubat sehingga mencuri. Saya ada terima bantuan Lembaga Zakat Selangor sebanyak RM400 sebulan.

“Malah pihak AJK masjid selalu bertanya khabar dan memberi barang keperluan asas seperti beras setiap bulan,” katanya seperti dilapor Malaysiagazette, hari ini.

Semalam, Daniel Iskandar dikenakan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas cubaan mencuri tabung masjid lima hari lalu.

Daniel Iskandar yang juga penganggur dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara bermula tarikh tangkap iaitu 9 Januari lalu dan tambahan jel lima bulan, jika gagal membayar denda tersebut.

Justeru, Rosli berharap, hukuman itu memberi pengajaran kepada Daniel Iskandar supaya menjadi orang berguna pada masa depan.

Jelasnya, dia tidak ingin apa yang terjadi terhadap keluarganya gara-gara sikap negatif Daniel Iskandar sebelum ini akan menimpa orang lain.

“Daniel Iskandar merupakan remaja yang bermasalah dan saya tidak sanggup menjaganya kerana tindakan yang tidak boleh dikawal lagi dan agresif.

“Kemungkin besar dan dikhuatiri dia ada ambil benda terlarang dan baru terjebak jadi penagih kerana sering melakukan tindakan luar dugaan.

“Contohnya dia pernah mencuri wang dan motosikal saya, wang simpanan umrah arwah neneknya, telefon bimbit saudaranya, pernah hendak ugut mencederakan arwah neneknya dan sering pulang lewat malam,” katanya.

Mengulas mengenai kejadian tersebut, Rosli mengakui menyarankan kepada Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Al Islahiah Kuang supaya membuat laporan polis ke atas cucunya itu.

Rosli juga mengakui pihak AJK masjid terlebih dahulu berbincang dengannya namun beliau nekad kes cucunya disiasat polis

Rosli juga tidak ambil hati apabila video cucunya menjadi viral kerana dimandikan seperti jenazah.

“Saya tidak ambil hati pun malah bersyukur dia diberi pendidikan kerana mencuri.

“Nasib baik hanya dijirus air biasa kalau air panas macam mana,” katanya yang tidak menyesal tidak mempertahankan cucunya itu agar kes curi itu diselesai cara baik.

Rosli juga tidak berniat mendedah aib cucunya namun perlu bersikap jujur dengan apa yang berlaku.

Rosli turut memohon kepada netizen di media sosial agar tidak menyalahkan AJK masjid yang membawa kes curi cucunya itu kepada pihak berkuasa.

Menurutnya, negara ini mempunyai undang-undang dan tindakan itu diharap dapat mengubah sikap Daniel. -Malaysiapost

Tiada ulasan: