Selasa, 11 Januari 2022

COVID-19 turun lagi, 2,641 kes baharu direkodkan hari ini

HANYA 248 pesakit dirawat di unit rawatan rapi di hospital seluruh negara.. - Foto FB Noor Hisham Abdullah

JUMLAH jangkitan kes baharu COVID-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari ini turun lagi, berbanding semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dalam tempoh itu sebanyak 2,641 jangkitan baharu dikesan berbanding 2,888 kes yang dicatat semalam.

Beliau berkata angka itu menjadikan kumulatif positif meningkat kepada 2,788,860 kes, dengan sehingga semalam 2,714,614 pesakit disahkan sembuh, dan 31,678 kematian.

May be an image of text

Sehingga semalam, masih terdapat 39,927 pesakit aktif, dengan 32,743 daripadanya menjalani kuarantin di rumah; 3,520 ditempatkan di PKRC; 3,416 dimasukkan ke hospital; dan 248 pesakit dirawat di unit rawatan rapi, termasuk 117 yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sejak 24 Februari tahun lalu hingga semalam, seramai 25.64 juta atau 78.5 peratus daripada populasi Malaysia telah lengkap divaksinasi, manakala lebih 26.02 juta atau 79.6 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya dos pertama daripada vaksin dua dos atau vaksin dos tunggal.

Sementara itu Dr Noor Hisham berkata kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian semalam untuk seluruh negara adalah pada nilai 0.98.

Nilai Rt bagi Labuan adalah yang tertinggi iaitu 1.19 diikuti Sabah (1.07); Kuala Lumpur (1.06); Melaka (1.03); Negeri Sembilan (1.02); dan Kedah (1.00).

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan virus iaitu berapa ramai individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Menurut pakar kesihatan, nilai Rt berada pada tahap membimbangkan apabila ia melepasi nilai 1.00 dengan lebih ramai individu berpotensi untuk dijangkiti.

Tiada ulasan: