KULIM: Sebuah bas persiaran eksklusif berharga RM1.3 juta menjadi tumpuan pengunjung di Karnival Islam di pekarangan Keda Mall di Taman Cendana di sini.
Bas persiaran dua tingkat milik Global Ikhwan Sdn. Bhd. (GISB) Travel and Tours Sdn. Bhd. itu dipamerkan di karnival tersebut yang berlangsung sejak kelmarin hingga Ahad ini.
Pengarah karnival, Mohd. Azral Mohd. Noor berkata, bas tersebut yang dilengkapi teknologi tenaga solar boleh membawa 37 penumpang serta mempunyai kelengkapan dan ciri-ciri mewah.
Menurut beliau, antara keunikan bas itu adalah memiliki sebuah bilik mesyuarat yang boleh memuatkan lebih 10 penumpang dan kerusi penumpang yang selesa di tingkat atas.
Katanya, bas tersebut juga dilengkapi kerusi istirahat, peti sejuk dan tandas di tingkat bawah.
“Bas yang berharga RM1.3 juta ini dibeli kira-kira lapan bulan lalu dan ditempah khas dengan idea reka bentuk diilhamkan oleh Pengerusi Eksekutif GISB Holdings Sdn. Bhd., Nasiruddin Mohd. Ali,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Karnival Islam bertemakan ‘Perniagaan Islam Membangun Ekonomi Ummah’ itu dianjurkan GISB Holding sempena perasmian pasar raya Ikhwan Mart.
Antara acara diadakan sepanjang karnival itu adalah gerai pameran dan jualan, persembahan nasyid, teater, forum perdana, sukan berkuda dan sukaneka.
Ikhwan Mart merupakan rangkaian pasar raya di bawah GISB Holdings yang mempunyai lebih 28 buah cawangan di seluruh negara serta di luar negara termasuk di Indonesia, Thailand dan United Kingdom.
GISB Holdings diasaskan oleh arwah Ustaz Ashari Muhamad yang menumpukan kepada ekonomi Islam dan kini semakin berkembang maju selaras dengan perkembangan teknologi masa kini.
Mohd. Azral memberitahu, pada masa ini, bas persiaran itu hanya digunakan oleh kakitangan GISB Holdings dan belum dibuka kepada orang ramai lagi.
“Kemungkinan pada masa akan datang kami akan membuka kepada orang ramai untuk tempahan terutama kegunaan syarikat dan individu yang memerlukannya,” jelasnya.
Seorang pengunjung dari Padang Serai, Nazim Abdul Wahab, 49, berkata, dia berasa kagum dan teruja apabila dapat menaiki bas persiaran itu.
“Inilah pengalaman kali pertama saya menaiki bas persiaran yang mempunyai ciri-ciri mewah kerana sebelum ini hanya dilihat di media sosial sahaja,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan