MANGSA-mangsa banjir yang mengalami kerosakan kenderaan dinasihatkan supaya memeriksa dahulu harga ditetapkan bengkel sebelum bersetuju membaiki kenderaan mereka.
Pengasas Bersama Scrut Auto, Nik Muhammad Izwan Nik Mohd. Kamel berkata, mangsa banjir perlu menghubungi terlebih dahulu bengkel yang mereka kenali sebelum mendapatkan slot pemeriksaan bagi mengelak ditipu bengkel tidak bertanggungjawab.
Pada masa sama, Nik Muhammad Izwan menasihatkan pemilik kenderaan supaya segera menghantar kenderaan terkesan akibat banjir dibaiki kerana dikhuatiri kos semakin meningkat disebabkan lumpur yang mengeras sekali gus menyukarkan proses baik pulih.
“Jangan terus hantar kerana kebanyakan bengkel sekarang penuh. Pastikan setelah diperiksa, sebut harga diberikan. Jika tidak setuju, rasa mahal, bawa pulang semula kereta anda.
“Biasa terjadi hal-hal sebegitu adalah disebabkan kecuaian kita sendiri yang bersifat tidak kisah. Seperti kata-kata, ‘buat je apa yang patut, nanti saya bayar’ tanpa meminta sebut harga dulu. Untuk pengetahuan, setiap kereta berbeza harga alat ganti dan kos penyelenggaraan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Isu melibatkan harga untuk membaiki kenderaan yang terjejas akibat banjir tular dalam media sosial sejak akhir-akhir ini.
Ia disebabkan ada pemilik kenderaan dikenakan caj mencecah sehingga puluhan ribu yang ditetapkan bengkel kenderaan.
Menurut seorang lagi pengasas bengkel kenderaan Scrut Auto, Ahmad Aliff A.S. Ahmad Shariffuddin, pengguna harus bertindak bijak kerana mengakui tidak mustahil ada pengusaha bengkel cuba mengambil kesempatan atas bencana banjir kali ini.
Kata beliau, pengguna perlu memilih bengkel dikenali, dapatkan sebut harga sebelum bersetuju dan jangan menggunakan khidmat broker.
“Setiap bengkel ada kadar harga mereka sendiri. Kalau di Scrut Auto, kami menekankan kualiti dan servis terbaik. Bukan ala kadar. Tetapi, kami akan memberikan sebut harga setelah kerosakan dianggarkan, diagnosis dibuat.
“Jika tidak bersetuju, hanya bayar kos pemeriksaan dan diagnosis, kemudian boleh dibawa kereta anda ke bengkel lain,” katanya.
Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan, pemilik kenderaan yang terjejas akibat banjir boleh memanfaatkan Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia sehingga RM1,000 di pusat servis atau pengedar sah syarikat automotif terlibat tanpa perlu membuat sebarang permohonan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan