Jumaat, 21 Januari 2022

Banjir kilat, pokok tumbang di Gombak

KUALA LUMPUR: Taman Greenwood dan Kampung Tengah 5, Jalan Gombak dekat sini dilanda banjir kilat selepas hujan lebat dan angin kuat petang tadi.

Angin kuat juga menyebabkan pokok tumbang tetapi tidak ada kecederaan dilaporkan.

Ketua Balai Bomba Sukarela Gombak, Faizal Adnan, berkata pihaknya menerima satu laporan kejadian banjir kilat di hadapan Medan Selera Greenwood pada jam 6.15 petang tadi.

"Hujan lebat menyebabkan beberapa kawasan dan laluan di situ dinaiki air dan ia berpunca akibat saluran air keluar yang tersumbat.

"Bagaimanapun, banjir kilat surut sepenuhnya dalam tempoh setengah jam kemudian," katanya kepada BH, hari ini.

Katanya lagi, hujan lebat serta angin kuat juga menyebabkan satu kejadian pokok tumbang berlaku di Kampung Tengah 5, Jalan Gombak dan menghempap sebuah kereta penduduk di situ.

"Kita terima laporan kejadian pada jam 7.05 malam dan empat anggota bersama jentera ke lokasi untuk tugas pembersihan.

"Kerja-kerja memotong dan mengalihkan pokok yang tumbang selesai pada jam 7.53 malam dan tiada mangsa terbabit dalam kejadian itu," katanya.

Dalam pada itu, tular di media sosial beberapa rakaman video menunjukkan beberapa laluan di sekitar Taman Greenwood banjiri air sekurang-kurangnya sedalam 0.4 meter.

Tiada ulasan: