Ahad, 16 Januari 2022

Anak penggal kepala ibu hingga maut

LIHAT VIDEO DI SINI

KUALA SELANGOR: Seorang wanita berusia 56 tahun maut dipercayai dipenggal kepala oleh anaknya dalam kejadian di Kampung Baru Pasir Penambang, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa, berkata polis menerima maklumat jam 5.45 petang berhubung kejadian seorang wanita dicederakan oleh anaknya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 28 tahun dipercayai membunuh mangsa ketika berada di ruang tamu berikutan terdapat kesan darah di sekitarnya.

Katanya, suspek yang juga penganggur tinggal bersama mangsa dan suaminya, manakala anak mangsa yang lain pula menyewa di kawasan berhampiran.

"Kejadian disedari seorang daripada anak mangsa yang gagal menghubunginya, sebelum pergi ke rumah. Sebaik tiba, anak mangsa melihat keadaan rumah berlumuran darah dan suspek yang terkejut terus melarikan diri ke belukar di belakang rumah.

"Polis dengan bantuan penduduk berjaya menahan suspek yang bersembunyi dalam belukar itu dan siasatan lanjut sudah dijalankan oleh pasukan forensik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramli berkata, polis turut merampas parang disyaki digunakan suspek untuk memenggal kepala ibunya yang ditemui dalam tandas rumah berkenaan.

"Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

"Permohonan reman dibuat di Mahkamah Majistret Kuala Selangor dan suspek direman selama tujuh hari sehingga 22 Januari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Tiada ulasan: