Sabtu, 1 Januari 2022

Agensi umrah mohon tempoh sebulan sebelum tangguh

Oleh AHMAD FADHLULLAH ADNAN
KERATAN laporan Utusan Online hari ini.

KUALA LUMPUR: Agensi umrah meminta kerajaan memberi tempoh sekurang-kurangnya sebulan sebelum menguatkuasakan penangguhan perjalanan umrah. 

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (Papuh), Datuk Seri Razali Mohd. Sham berkata, penambahan prosedur operasi standard (SOP) baharu termasuk mewajibkan kuarantin di pusat kuarantin perlu dilaksanakan dengan ketat dalam tempoh tersebut.

Katanya, pihaknya sudah berbincang dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi melaksana SOP khususnya kepada semua jemaah yang dijangka pulang bermula Isnin ini.

“Selepas sebulan ini kita lihat kesannya. Jika penularan jangkitan dapat kita kawal, maka tidak jadi masalah untuk aktiviti umrah ini boleh diteruskan seperti biasa dengan penambahan SOP ketat ini. 

“Kalau tidak boleh kita akur (untuk tangguh). Sebelum ini, jemaah yang pulang mereka hanya diarah kuarantin di rumah, sebab itu mungkin penularan berlaku, tapi dengan SOP baru yang ketat, saya rasa kawalan akan dapat dibuat,” katanya hari ini. 

Terdahulu, media melaporkan, kerajaan memutuskan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan umrah bermula 8 Januari ini. 

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, berikutan itu, tiada perjalanan mengerjakan ibadat itu selepas 7 Januari ini sehingga tarikh yang dimaklumkan kelak. 

Kata beliau, tempahan tiket penerbangan perjalanan umrah yang baharu ditangguhkan berkuat kuasa hari ini.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra) . Ab. Rahman Mohd Ali berkata, pihaknya juga tidak menolak penangguhan itu juga mengakibatkan banyak agensi yang terlibat dalam industri itu gulung tikar.

“Ketika ini juga, agensi pelancongan berdepan tekanan dari kes tuntutan bayaran balik bagi tahun 2020 yang masih belum diselesaikan ditambah dengan tuntutan baharu jika penangguhan dibuat. 

“Kita menyeru pihak perundangan yang terbabit supaya menangguhkan kebenaran tuntutan ini seperti yang dilakukan sebelum ini melalui peruntukan dalam Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Impak Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020 (Akta 829),” ujarnya. – UTUSAN ONLINE 

Tiada ulasan: