Ahad, 23 Januari 2022

Tiada PKP, sekatan balik raya: PM


Orang ramai, untuk tahun ketiga penularan wabak Covid-19, tidak lagi akan dihalang daripada pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri tahun ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Kerajaan tidak akan melaksanakan kembali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan untuk pulang ke kampung bagi sambutan Hari Raya Aidilftri tahun ini, katanya lapor Bernama.

Perdana Menteri berkata sektor ekonomi dan sosial serta pergerakan rentas negeri telah dibenarkan kembali seperti biasa, dan jika kes meningkat di sesuatu kawasan, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara bersasar akan dilakukan di kawasan terbabit sahaja.

“Sudah ada orang yang buat spekulasi macam-macam, termasuk kononnya tak boleh balik raya kerana kes meningkat semula sejak beberapa hari lepas, namun jangan bimbang, kita tidak akan tutup lagi seluruh negara, atau negeri atau daerah kerana jaminan sudah diberikan.

“Pergerakan rakyat juga seperti biasa, tetapi kita akan memfokus kepada kawasan sasaran yang banyak berlaku penularan kerana kita ada PKPD. Jika kampung itu yang dikenakan PKPD, maka mereka dari kampung itu sahaja yang tidak boleh pulang,” katanya pada sidang media selepas menghadiri perjumpaan tertutup bersama petugas Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Pejabat Kemas Bera, Pahang, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata cadangan prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan dibentang dalam mesyuarat sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang akan turut dihadiri wakil parti-parti pembangkang.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengemukakan cadangan SOP itu secara terperinci, kerana keutamaan adalah untuk mengelakkan berlaku peningkatan kes positif Covid-19 akibat PRN itu, selain turut mengambil kira jumlah kes baharu yang kembali mencecah 4,000 kes sejak beberapa hari lepas.

“Kita tidak boleh selesa dan perlu terus membendung (penularan Covid-19) walaupun kita mengatakan perlu hidup dengan Covid-19 pada masa depan. Kita mengharapkan supaya kes terus menurun sehingga bawah 1,000 supaya kita boleh mengumumkan Malaysia sebagai endemik, bukan lagi pandemik.

“Kita serahkan kepada KKM untuk menentukan SOP secara terperinci dan saya boleh memanggil mesyuarat sidang khas MKN untuk membincangkannya,” kata Ismail Sabri.

PRN Johor perlu diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) berkuat kuasa semalam selepas Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran selepas menerima menghadap Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

Tiada ulasan: