Ahad, 2 Januari 2022

5 penjual besi buruk terapung hampir 11 jam

Oleh Mary Victoria Dass
Lima penjual besi buruk warga Indonesia diselamatkan Maritim Malaysia selepas terapung dalam rakit keselamatan selama 11 jam pagi tadi - Foto NSTP/Maritim Malaysia
Lima penjual besi buruk warga Indonesia diselamatkan Maritim Malaysia selepas terapung dalam rakit keselamatan selama 11 jam pagi tadi - Foto NSTP/Maritim Malaysia

BATU PAHAT: Lima penjual besi buruk warga Indonesia yang terkandas hampir 11 jam di rakit keselamatan selepas bot dinaiki mereka karam di perairan Batu Pahat, awal pagi hari ini ditemukan selamat.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kejadian berlaku pada jam 1 pagi tadi ketika kumpulan penjual besi buruk itu dalam perjalanan dari Pulau Nipah, Indonesia ke Batam.

Menurutnya, bot kayu dinaiki lima lelaki itu turut berisi besi buruk mengalami kebocoran sebelum karam.

Katanya, bagaimanapun sebuah kapal dagang menemui mereka pada jam 1.15 pagi sebelum menawarkan bantuan awal dengan memberikan rakit keselamatan.

"Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima maklumat awal daripada Vessel Traffic System (VTS) Klang berkaitan penemuan mangsa di rakit keselamatan oleh sebuah kapal kargo yang melalui Selat Melaka pada jam 12.35 tengah hari hari ini.

"Lokasi mereka ditemui adalah di kedudukan 11.4 batu nautika barat daya Tanjung Segenting Batu Pahat.

"Bertindak atas maklumat, Maritim Malaysia ke lokasi berkenaan dan mendapati mangsa diselamatkan bot nelayan tempatan yang berada di lokasi berhampiran," katanya menerusi siaran media hari ini.

Nurul Hizam berkata, APMM membawa semua mangsa ke Pejabat APMM Batu Pahat bagi siasatan lanjut dan akan diserahkan kepada pihak kedutaan Indonesia.

"Kesemua mangsa berusia antara 24 hingga 44 tahun dalam keadaan selamat," katanya.

Anggota APMM bersama sekumpulan penjual besi warga Indonesia yang terkandas di perairan Batu Pahat selepas bot dinaiki karam pada tengahari ini. Gambar ihsan APMM.

Tiada ulasan: