Rabu, 12 Januari 2022

16 kluster babit jemaah umrah, tujuh darinya kes indeks disahkan Omicron

JEMAAH umrah yang baru balik dari Arab Saudi perlu memakai alat penjejak digital sepanjang tempoh kuarantin. - Gambar Facebook KP Kesihatan

SEBANYAK 16 kluster jangkitan Covid-19 dikesan membabitkan jemaah umrah yang pulang dari Arab Saudi antara 25 November hingga hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia termasuk tujuh kluster melibatkan kes indeks disahkan varian Omicron dengan219 kes positif direkodkan.

Selain itu katanya, enam lagi kluster membabitkan kes indeks dianggap Omicron yang sedang menunggu keputusan penjujukan genom keseluruhan (WGS) manakala tiga kluster melibatkan kes indeks positif Covid-19 bukan varian Omicron.

“Daripada jumlah kluster tersebut, empat kluster membabitkan kes dari Pahang, tiga kluster masing-masing dari Kelantan dan Kedah manakala dua kluster dari Johor serta masing-masing satu kluster dari Sabah dan Labuan.

“Satu kluster lagi membabitkan kes dari Pahang dan Johor manakala satu kluster lagi dari Kedah, Selangor dan Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, Kluster Keratong 5 Saudi di Rompin, Pahang mempunyai jumlah kes paling tinggi dengan 36 kes.

Ujarnya, kes indeks itu disahkan varian Omicron dengan dua kes jangkitan import dan 34 kes kontak keluarga.

“Kes dalam kluster itu adalah ahli keluarga dari Pahang dan Johor dengan kadar positiviti 81.8 peratus.

“Terdapat juga dua lagi kluster membabitkan jemaah umrah dalam daerah sama iaitu Kluster Rumah Kedai Keratong 5 Saudi dan Kluster Keratong 2 Saudi,” tambahnya.

Dr Noor Hisham berkata, Kluster Rumah Kedai Keratong 5 Saudi dan Kluster Keratong 2 Saudi masing-masing melibatkan sembilan kes dan 11 kes.

Namun katanya, Kluster Keratong 2 Saudi bukanlah kes varian Omicron.

“Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sedang dilaksanakan di Felda Keratong 5, Rompin Pahang bermula 6 Januari hingga 19 Januari 2022 untuk mengekang penularan jangkitan Covid-19 kepada komuniti,” katanya.

Di Kelantan, tiga kluster terlibat ialah Kluster Chiku 01 Saudi, Kluster Kampung Tok Panjang Saudi dan Kluster Jalan 2 Saudi.

Tiada ulasan: