Menteri Perpaduan Negara
Halimah Mohamed Sadique berkata ini berikutan penularan varian baru
Omicron yang direkodkan dunia ketika ini.
Semua perarakan perayaan termasuk perarakan kavadi bagi perayaan Thaipusam dan Chingay sempena Tahun Baru Cina yang akan disambut tahun hadapan adalah tidak dibenarkan.
Menteri Perpaduan Negara Halimah Mohamed Sadique berkata langkah ini diambil berikutan negara berhadapan jangkitan varian baru Covid-19 iaitu Omicron.
“Dalam permohonan sempena sambutan Thaipusam, perarakan itu tidak dibenarkan (kerana) kita sedang berhadapan dengan varian yang baru.
“…keduanya Chingay, iaitu saya sudah sebut bahawa perarakan bagi sambutan Thaipusam tidak dibenarkan maka sudah tentu apa sahaja perarakan tidak dibenarkan dan itu pun bergantung kepada keputusan tiga jawatankuasa,” katanya pada sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Halimah menjawab soalan tambahan Steven Choong Shiau Yoon (Bebas-Tebrau) yang ingin tahu sama ada prosedur operasi standard (SOP) bagi Tahun Baharu Cina akan datang membenarkan perarakan Chingay semasa sambutan perayaan itu.
Sementara itu, menjawab soalan asal daripada Sivakumar Varatharaju Naidu (PH-Batu Gajah) yang ingin tahu mengenai SOP yang dirangka untuk sambutan Thaipusam pada 18 Jan 2022, Halimah berkata cadangan SOP bagi perayaan itu termasuk sambutan Krismas tahun ini dijangka dibentangkan ke tiga mesyuarat jawatankuasa untuk kelulusan, pada pertengahan Disember ini.
Beliau berkata ia akan dibentangkan dalam Mesyuarat Kumpulan Kerja Teknikal Pengurusan Pandemik pada 13 Disember ini, kemudian dibawa dalam Mesyuarat Kuartet Menteri pada 14 Disember, sebelum dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang dipengerusikan perdana menteri, yang dijangka pada 15 Disember.
“Setelah mendapat keputusan mesyuarat, surat makluman kelulusan SOP akan dihantar kepada pemimpin-pemimpin agama dan kenyataan media turut disediakan,” katanya.
Halimah berkata dalam penyediaan SOP perayaan Thaipusam, pihaknya mengadakan sesi libat urus bersama 10 pemimpin agama Hindu dan wakil Majlis Keselamatan Negara serta kementerian kesihatan pada 2 Disember lepas.
Sesi libat urus itu, katanya bertujuan untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai aktiviti dan upacara keagamaan yang sesuai bagi perayaan berkenaan dan melalui sesi libat urus itu, tujuh perkara (atau aktiviti keagamaan) dikenal pasti termasuk pengoperasian gerai jualan namun tertakluk kepada kebenaran pihak berkuasa tempatan.
Menyentuh mengenai setiap SOP perayaan yang disambut pelbagai kaum di negara ini, Halimah berkata pihaknya mengadakan sesi libat urus bersama pihak-pihak berkaitan dua bulan sebelum tarikh sesuatu perayaan.
“Segala cadangan SOP selepas sesi libat urus akan diangkat ke setiap mesyuarat jawatankuasa yang dinyatakan tadi. Sehubungan itu, tiada masalah dalam penyediaan SOP untuk apa-apa perayaan bagi Keluarga Malaysia,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan