Rabu, 15 Disember 2021

RUU kembalikan perkataan ‘Negeri-Negeri Melayu’ dibentang hari ini


Kerajaan hari ini membentangkan Rang Undang-Undang yang antara lain mengembalikan perkataan ‘Negeri-Negeri Melayu’ dan ‘Negeri-Negeri Borneo’ dalam Persekutuan, yang dikeluarkan menerusi Akta Perlembagaan (Pindaan) 1976.

“Pelaksanaan Rang Undang-Undang ini adalah bagi mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2021 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini. RUU itu akan dibahaskan oleh Ahli Dewan Rakyat petang ini.

Bacaan kali pertama rang undang-undang itu dibuat pada 3 November lalu lalu, setelah pada 2019, kerajaan Pakatan Harapan membentangkan bacaan kali kedua, tetapi gagal mendapat sokongan dua pertiga Ahli Dewan Rakyat.

Wan Junaidi berkata pindaan Perlembagaan itu juga selaras dengan agenda transformasi kerajaan untuk mengembalikan keyakinan rakyat termasuk pelabur asing terhadap kemampuan kerajaan demi memastikan kestabilan politik dan dasar negara ke arah pembangunan sosioekonomi yang mampan.

“Persefahaman dan kestabilan politik, ekonomi serta sosial di Malaysia yang dicapai melalui rang undang-undang ini adalah penting bagi membentuk asas yang kukuh dalam sebuah Keluarga Malaysia,” katanya.

Menurutnya, pindaan tersebut adalah berkaitan dengan komitmen Malaysia terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), membabitkan empat fasal dalam Perlembagaan Persekutuan.

Empat fasal itu ialah Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan, tafsiran ‘the Federation’ di bawah Fasal (2) Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan, tafsiran baru Hari Malaysia di bawah Fasal (2) Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan dan Fasal (6) dan (7) Perkara 161A Perlembagaan Persekutuan.

RUU itu dibentangkan bagi mengembalikan perkataan ‘Negeri-Negeri Melayu’ serta ‘Negeri-Negeri Borneo’ dalam Persekutuan, selepas ia dikeluarkan menerusi Akta Perlembagaan (Pindaan) 1976.

“Pelaksanaan Rang Undang-Undang ini adalah bagi mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia,” katanya.

Wan Junaidi berkata sebelum rang undang-undang tersebut dibentangkan, cadangan pindaan terlebih dahulu dipersetujui kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak, dengan cadangan pindaan itu dibawa ke Jawatankuasa Rakan Sekutu pada 11 Oktober lalu dan dipersetujui pada peringkat Majlis Khas Mengenai MA63 pada 18 Oktober dan Jemaah Menteri pada 20 dan 29 Oktober lalu.

Sementara itu beliau juga memaklumkan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-14 tidak akan dilanjutkan, walaupun ada petunjuk awal mengatakan ia akan dilanjutkan selama dua hari.

Beliau berkata sesi Parlimen semasa yang bermula pada 25 Oktober lalu akan berakhir seperti yang dijadualkan pada 16 Disember ini, dengan persidangan semasa akan memberi tumpuan kepada tujuh rang undang-undang iaitu Bajet 2022 serta pindaan beberapa perkara dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, setelah membuat pertimbangan, adalah lebih baik untuk tidak melanjutkan sesi itu kerana kebanyakan menteri, Ahli Parlimen serta pegawai kerajaan telah membuat perancangan untuk cuti akhir tahun mereka.

Tiada ulasan: