RAPTAI penuh perasmian Program 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula esok, berjalan lancar dalam suasana norma baharu dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Program empat hari yang berakhir Ahad ini dari pukul 9 pagi hingga 10 malam itu, dijadual dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 1.30 tengah hari esok.
Program 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia anjuran Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU) Jabatan Perdana Menteri itu, menampilkan galeri pencapaian kementerian, program bantuan, pameran kementerian dan agensi, persembahan kebudayaan, serta pameran dan jualan usahawan.
Lebih 130 kiosk melibatkan 31 kementerian dan 102 usahawan didirikan sepanjang program berlangsung, selain pelbagai pengisian menarik antaranya Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia serta diskaun saman Jabatan Pengangkutan Jalan dan Polis Diraja Malaysia.
Ia akan dilaksanakan dengan SOP ketat bagi mengelakkan penularan COVID-19 termasuk mengehadkan bilangan pengunjung kepada 10,350 orang sahaja pada satu-satu masa berbanding kapasiti sebenar KLCC iaitu melebihi 20,000 orang, dengan penganjur diminta memastikan wujud penjarakan fizikal sepanjang program berlangsung.
Had jumlah pengunjung akan dikawal menerusi kod respon pantas (QR) pendaftaran, selain terdapat pasukan khas yang ditugaskan mengawal dan memberi peringatan berkenaan pematuhan SOP.
Konsep Keluarga Malaysia yang bertunjangkan nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran diperkenalkan Ismail Sabri menerusi ucapan sulungnya selepas dilantik sebagai perdana menteri Malaysia kesembilan, dan membentuk kerajaan baharu pada Ogos lepas. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan