PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meluahkan keyakinan bahawa seluruh rakyat Malaysia mempunyai jiwa yang kuat untuk terus maju dan kembali bangkit bersama.
Dalam catatan di akaun Facebook rasminya, Ismail Sabri turut sedar seluruh rakyat daripada pelbagai golongan telah terjejas selepas hampir dua tahun dilanda pandemik COVID-19.
Menurut beliau, anggota perkhidmatan negara telah berdepan dua cabaran utama sepanjang beliau berkhidmat sebagai Perdana Menteri.
Dua cabaran utama itu, kata Perdana Menteri adalah memerangi COVID-19 di samping memulihkan ekonomi dan menstabilkan politik.
“Walaupun diuji dengan ketidakstabilan politik dan ekonomi akibat COVID-19, kita berjaya mengharungi semua dugaan dengan baik.
“Saya akui, menjadi seorang Perdana Menteri adalah tanggungjawab terbesar yang pernah saya pikul,” katanya dalam hantaran tersebut.
Perdana Menteri berkata, negara perlahan-lahan bangkit bersama sebagai satu Keluarga Malaysia tanpa mengira latar belakang.
“Sudah hampir dua tahun semenjak wabak COVID-19 melanda dunia. Rakyat daripada pelbagai golongan terjejas tapi perlahan-lahan kita bangkit bersama sebagai satu Keluarga Malaysia tanpa mengira latar belakang.
“Saya percaya, rakyat Malaysia mempunyai jiwa yang kuat untuk terus maju dan bangkit bersama,” jelas beliau.
Perdana Menteri turut memetik kata pepatah Iban yang turut diungkapkannya dalam majlis perasmian 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia, semalam.
“Ibarat kata orang Iban, “entik begempung kitai sepanjung, entik
pamar kitai dekat ngepat,” yang bermaksud jika bersatu, suara kita akan
lebih didengar, jika berpecah usaha kita sia-sia,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan