Sabtu, 11 Disember 2021

Raja Muda Perlis ingatkan pengurusan masjid jaga akaun dengan baik

Borhan Abu Samah

Setiap Ahli Jawatankuasa masjid yang dilantik juga perlu mengelakkan diri dari terlibat dalam perolehan yang terdapat kepentingan seperti pemberian projek selenggara masjid kepada saudara-mara kerana ianya merupakan satu kesalahan salah guna kuasa.

Demikian titah baginda selepas berkenan berangkat menghadiri program ‘Rakyat Perlis Benci Rasuah – Katakan Tidak Kepada Rasuah’ yang dianjurkan secara bersama oleh pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Masjid Al Ariffin, Padang Katong, Kangar.

Program tersebut yang merupakan sebahagian daripada kempen ‘Perlis Hebat : Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Tindakan’ bersama-sama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) disekalikan dengan aktiviti ‘Hijrah Minda MAIPs’ Bilangan Ke 35 bagi tahun 2021 sebagai memperingati ‘Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA)’ yang sejak 31 Oktober 2003 telah diputuskan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar 9 Disember setiap tahun adalah tarikh ianya disambut.

Penolong Penguasa SPRM Negeri, Zurazman Noh menyampaikan taklimat dan nasihat di program yang diadakan bertujuan bagi meningkatkan kesedaran akan bahaya rasuah serta keperluan satu usaha sama bagi menangani masalah global ini. Tema sambutan Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA) 2021 adalah “Hak Anda, Peranan Anda : Katakan Tidak Kepada Rasuah”(Your Right, Your Role – Say No To Corruption). Tema ini adalah selaras dengan keperluan semua lapisan masyarakat untuk bersama-sama memerangi rasuah secara habis-habisan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Elsekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor menyatakan bahawa, ‘Sesungguhnya mereka yang melakukan perbuatan rasuah merupakan orang yang tidak berintegriti, tidak bermoral, tidak jujur dan tidak amanah.

Rasullullah S.A.W. memberi peringatan kepada umatnya bahawa hilangnya sifat amanah dalam masyarakat merupakan antara tanda-tanda kecil berlakunya hari kiamat. Firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Anfal ayat 27:
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah mengkhianati Allah dan rasulNya, dan janganlah kamu amanah-amanah (yang diamanahkan kepada) kamu sedang kamu mengetahunya”.

Terdahulu daripada itu Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyerahkan sumbangan MAIPs berjumlah RM11,200 kepada amil masjid berkenaan Mokhtar Jaafar untuk diagihkan kepada seramai 28 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah tersebut. Masing-masing akan menerima RM400 setiap seorang.

 

Di akhir program, Tuanku Raja Muda turut berkenan meluangkan masa bagi merasmikan kedai ‘Masjid Mart’ yang diusahakan oleh Koperasi Masjid Al Ariffin Padang Katong Perlis Berhad yang terletak di tepi kawasan parkir luar masjid itu. ‘Masjid Mart’ yang telah mula beroperasi sejak 1 Oktober 2021 ini selain membekal barang runcit kepada masyarakat setempat, juga menjual produk-produk tempatan keluaran anak kariah seperti makanan frozen, nira, ais krim, kacang, sabun dan sebagainya. Ia juga turut menyediakan perkhidmatan pembungkusan hamper kepada asnaf yang memerlukan bernilai RM30 dan RM50 yang mengandungi makanan asas.

Tiada ulasan: