Rabu, 15 Disember 2021

Polis tahan 3 suspek penipuan dalam talian

KUALA LUMPUR: Polis menahan tiga lelaki di sebuah kediaman di Jalan Kuchai Maju di sini, semalam kerana disyaki terbabit kes penipuan dalam talian sejak Ogos tahun lalu.

Serbuan oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dengan dibantu Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Brickfields itu turut membawa kepada rampasan tiga komputer riba, tiga telefon bimbit dan satu modem.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, berkata siasatan awal mendapati suspek menjadi operator pemantau keputusan perlawanan bola sepak menggunakan laman web 'dataservices.betgenius.com' dan 'bo.xm33.m8manage.com'.

"Suspek menggunakan aplikasi WeChat untuk mencari mangsa warga tempatan.

"Mereka akan direman untuk tindakan selanjutnya mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Amihizam menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan panggilan telefon daripada individu menawarkan peluang pelaburan tanpa butiran jelas.

Katanya, setiap individu wajar membuat semakan dengan agensi berkaitan selain tidak mendedahkan data peribadi atau maklumat perbankan kepada individu tidak dikenali.

"Buat semakan nombor telefon dan nombor akaun di laman web htpp://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.

"Laporkan kepada Pusat Respon Penipuan JSJK di talian 03-26101559 atau 03-26101599 jika mempunyai maklumat sindiket penipuan.

"Sebarang jenayah atau aktiviti yang mencurigakan, orang ramai boleh hubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/0585 atau mana-mana balai polis berdekatan," katanya.

Tiada ulasan: