Selasa, 14 Disember 2021

Polis perlu bantuan saksi bas ekspres rempuh 10 kenderaan

Foto hiasan
Foto hiasan

BUKIT MERTAJAM: Polis memohon bantuan saksi kemalangan membabitkan sebuah bas ekpres merempuh 10 kenderaan dalam kejadian di Kilometer 139.3 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, berkata maklumat itu boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Sufi Abdul Razak di talian 013-4774542 atau 04-5382222.

Katanya, terdahulu polis menerima laporan berhubung kemalangan itu pada jam 2.40 petang semalam.

"Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila sebuah bas dari arah Butterworth, Pulau Pinang dalam perjalanan ke Ipoh, Perak dipercayai hilang kawalan sebelum dilaporkan merempuh semua kenderaan terbabit," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, dalam kejadian itu beberapa mangsa yang cedera ringan dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Insiden kira-kira jam 2 petang itu tular di media sosial termasuk Facebook yang membuatkan kebanyakan warganet cemas melihat kejadian berkenaan.

Dalam beberapa laporan dikongsikan memaparkan detik sebelum kejadian berlaku menunjukkan bas ekspres yang berada di lorong kanan tiba-tiba dalam keadaan terhuyung hayang.

Tidak lama kemudian, pemandu bas yang masih tidak dikenal pasti identitinya itu didapati melanggar belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) sebelum dilihat merempuh beberapa kenderaan lain yang semuanya dianggarkan 10 kenderaan.

Kejadian menyebabkan berlaku kesesakan trafik kira-kira 15 kilometer sehingga ke Plaza Tol Sungai Dua.

Tiada ulasan: