Selasa, 14 Disember 2021

PM jamin usaha bantu rakyat, kemampanan kewangan kerajaan diteruskan

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob GAMBAR: Abd Razak Aid

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan usaha membantu seluruh Keluarga Malaysia di samping memastikan kemampanan kedudukan kewangan Kerajaan akan diteruskan.

Kata Perdana Menteri, melangkah ke hadapan, agenda pemulihan yang mampan akan diselaraskan dengan inisiatif-inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Menurutnya, semua usaha itu bertumpu kepada pembangunan teknologi tinggi, inovasi dan kemampanan dalam sektor berpotensi pertumbuhan tinggi.

“Ia dirangka bagi memangkin ekonomi inklusif dan berdaya saing untuk manfaat seluruh Keluarga Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC), hari ini.

Ia merupakan persidangan kali ketiga dan telah dihadiri oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mengulas lanjut Perdana Menteri berkata, FPC berpandangan semakan semula defisit bagi tahun 2021 iaitu 6.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan dapat dicapai.

Ujar beliau, ini berdasarkan prestasi sehingga akhir November yang mana kutipan hasil mencatatkan peningkatan 8.9 peratus kepada RM210.4 bilion manakala jumlah perbelanjaan meningkat 4.9 peratus kepada RM307.6 bilion.

“Untuk itu Kementerian Kewangan akan terus memantau prestasi dan perkembangan berkenaan.

“Berdasarkan prospek pemulihan ekonomi yang lebih baik bagi tahun 2022 serta langkah-langkah Bajet 2022, defisit fiskal disasarkan berkurang kepada 6 peratus daripada KDNK.

“Inisiatif pembaharuan institusi terutamanya pelaksanaan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA), Strategi Hasil Jangka Sederhana (MTRS) dan Kajian Perbelanjaan Awam (PER) merupakan langkah dasar utama dalam menyokong usaha ini,” jelas beliau.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, untuk jangka sederhana, kerajaan kekal komited terhadap sasaran defisit seperti yang digariskan bawah RMK-12 iaitu 3.5 peratus berbanding KDNK pada 2025.

“Ke arah ini, Jawatankuasa telah meneliti beberapa cadangan yang akan menambahbaik kedudukan kewangan negara dan kemampanan fiskal setelah ekonomi kembali ke trajektori pertumbuhan sebelum pandemik Covid-19 melanda negara,” katanya.

Tiada ulasan: