Selasa, 14 Disember 2021

Perak bantu 250 pelajar kehilangan tempat bergantung akibat Covid-19

Oleh SHAMSUL KAMAL AMARUDIN

SAARANI MOHAMAD

IPOH: Seramai 250 pelajar sekolah di Perak yang menjadi anak yatim selepas bapa, ibu atau penjaga mereka meninggal dunia akibat Covid-19, akan dibantu daripada aspek sara hidup dan pendidikan mereka.

Ia melibatkan empat pelajar yang menjadi yatim piatu selepas kehilangan kedua-dua ibu dan bapa, 158 pelajar kematian bapa, 77 kehilangan ibu dan 11 kematian penjaga.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri akan mewujudkan Program Teduhan Kasih Anak-anak Perak dengan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk menampung sara hidup dan pendidikan anak-anak tersebut sehingga berusia 21 tahun, bagi membela nasib pelajar-pelajar berkenaan.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerima data ini daripada Jabatan Pendidikan Negeri dan senarai ini dalam tindakan siasatan Pejabat JKM Daerah bagi penentuan kelayakan bantuan berdasarkan syarat-syarat yang berkuatkuasa.

“Selain itu, kerajaan negeri juga berhasrat untuk memberikan bantuan bulanan sebanyak RM300 kepada penjaga anak yatim dan yatim piatu ini dengan menggunakan skim saham Felcra,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Mohd Tarmizi Idris (BN-Kenering) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.

Di samping itu, jelas Saarani, Bantuan Khas Pengurusan Kematian Covid-19 Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) berupa bantuan sekali bayar (one-off) sehingga kadar maksimum RM5,000 turut disediakan kepada waris si mati yang meninggal dunia akibat Covid-19.

Pada masa sama, menurut beliau, JKM melalui Bahagian Psikologi dan Kaunseling telah merangka pelbagai inisiatif dalam memberikan bantuan terutama daripada aspek psikologi dan kaunseling secara bersemuka dan secara dalam talian kepada keluarga yang terkesan dengan kematian ahli keluarga akibat Covid-19 sekiranya terdapat rujukan dan laporan daripada mana-mana pihak.

Beliau menambah, kit aktiviti psikologi juga diberikan kepada mangsa mengikut kesesuaian bagi membantu mereka menghadapi masa-masa sukar dan dalam trauma. 

Katanya, keluarga mangsa turut disantuni dari semasa ke semasa bagi memastikan aspek psikologi mereka terjaga dan dalam keadaan terkawal serta bagi mendapatkan maklumat terkini status kesihatan mental mereka sama ada secara bersemuka ataupun secara panggilan telefon. 

Pada tahun ini, kata Saarani, terdapat tiga keluarga yang terkesan akibat kematian ketua isi rumah (KIR) yang telah disantuni oleh pegawai-pegawai psikologi.

“Kerajaan negeri juga amat memahami keluh kesah yang dihadapi oleh peniaga kecil yang terjejas akibat penularan pandemik Covid-19 ini.

“Memahami situasi tersebut, Kerajaan Perak pada tahun 2021 ini telah melaksanakan pelbagai inisiatif melalui Pakej Rangsangan Ekonomi seperti  bantuan khas sekali bayar  RM300 kepada penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pemberian diskaun bayaran air secara bersasar kepada pelanggan-pelanggan perniagaan dan industri yang terkesan.

“Ia turut merangkumi pengecualian sewa gerai di bawah PBT , pengecualian bayaran pembaharuan lesen pusat kecantikan dan spa serta hotel yang berdaftar di bawah PBT dan kemudahan moratorium bayaran balik pinjaman Tabung Usahawan Yayasan Perak dan pinjaman mikro kredit Yayasan Bina Upaya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: