Khamis, 9 Disember 2021

Pekerja binaan jumpa ular sawa 250kg

MARANG: Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) terpaksa menggunakan jentolak untuk memindahkan dua ular sawa yang ditemui di kawasan tapak pembinaan di Kampung Gong Nangka, di sini, petang semalam.

Ular pertama seberat 250 kilogram (kg), sepanjang 5.79 meter itu ditemui kira-kira jam 1.55 tengah hari, manakala ular kedua ditemui berhampiran lokasi sama jam 3.15 petang.

Pegawai APM daerah Marang, Leftenan (PA) Mujahid Abd Wahab, berkata kedua-dua reptilia itu ditemui pekerja binaan ketika sedang menggali tanah menggunakan jentolak di kawasan pembinaan itu.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan jam 2 petang sebelum tiga anggota bergegas ke lokasi untuk menangkap reptilia itu.

"Anggota APM mengambil masa 25 minit untuk menangkap dan memindahkan ular ini ke dalam lori menggunakan jentolak dengan bantuan orang awam.

"Kita sekali lagi terima panggilan daripada individu sama jam 3.23 petang memaklumkan menemui satu lagi ular sawa batik di kawasan sama.

"Ular kedua yang ditangkap lebih kecil, berbanding ular pertama dan kita mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menangkap ular seberat 100 kg sepanjang 4.27 meter itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ular sawa seberat 250kg ditemui di kawasan tapak pembinaan di Kampung Gong Nangka, semalam. - Foto ihsan  APM
Ular sawa seberat 250kg ditemui di kawasan tapak pembinaan 
di Kampung Gong Nangka, semalam. - Foto ihsan APM

Mujahid berkata, kedua-dua ular berkenaan akan diserahkan kepada Taman Rekreasi dan Zoo Kemaman untuk tindakan lanjut.

"Orang awam dinasihatkan supaya berhati-hati dan tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya menemui haiwan berbisa dan berbahaya, sebaliknya menghubungi APM daerah atau talian kecemasan," katanya.

Tiada ulasan: