Rabu, 8 Disember 2021

Pandemik COVID-19 bukan faktor utama harga barang naik ‘menggila’

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

Kerajaan perlu kaji, adakah wujud kartel atau pihak ambil kesempatan 

BANGI – Kenaikan harga barangan yang mendadak ketika sehingga meresahkan pengguna berpunca daripada pelbagai faktor. 

Penganalisis ekonomi, Dr Ahmed Razman Abdul Latiff mengakui kemunculan pandemik COVID-19 antara faktor yang menyebabkan rantaian bekalan makanan agak terganggu.  

Sekatan di seluruh negara serta penutupan kebanyakan sektor ekonomi juga menyebabkan sukar untuk mendapatkan barangan tertentu, katanya. 

“Kemudian, apabila negara berjaya melengkapkan vaksinasi penuh, kerajaan mula membuka sempadan negeri, maka di situ bermula permintaan tinggi. 

“Bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di luar negara. Banyak negara pengeluar mengalami kesukaran untuk memenuhi permintaan, harga naik kerana permintaan melebihi pengeluaran. 

“Berlaku kenaikan banyak barangan komoditi, gas, minyak sawit, kos pengangkutan menjadi tinggi,” katanya dalam rancangan Dimensi yang disiarkan secara langsung, di TV Pertiwi, malam ini.

Namun, beliau berkata, pandemik COVID-19 yang berlaku bukan faktor utama sehingga menyebabkan harga barangan naik ‘menggila’. 

Katanya, terdapat keperluan bagi pihak kerajaan untuk mengkaji dengan sebetulnya punca kenaikan harga yang mendadak. 

“Ini menjadi persoalan, adakah disebabkan faktor global. Atau kombinasi faktor dalaman atau domestik. Ataupun faktor yang sudah lama menjadi duri daging, termasuk kewujudan pihak yang ambil kesempatan atau kewujudan kartel. 

“Kalau kerajaan nak tangani isu ini kena lihat faktor-faktor ini. Bukan berpusat pada satu faktor sahaja. 

“Kewujudan kartel menambahkan kesan lebih teruk pada kenaikan harga. Namun jika menteri kata tiada kartel, dan ini isu global. Apa penyelesaian daripada pihak kerajaan sebab harga makin naik,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kekurangan kebergantungan kepada ‘orang tengah’ sewaktu membeli barangan pula dapat membantu pengguna akhir membeli dengan harga yang lebih murah.

Katanya, perkara itu tidak mustahil boleh dilaksanakan dengan kemajuan teknologi masa kini.

“Kita tengok dengan sekarang, ada nelayan bawa turun ikan, guna Facebook ‘Live’ dia menjual. Jadi perkara ini, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sedang melihat ruang untuk menjalankan satu aplikasi, di mana contohnya nelayan naikkan ikan saja, terus boleh jual. 

“Bila ada teknologi yang sesuai memang mudah. Supaya pengeluar boleh terus kepada pengguna, tak perlu melalui orang tengah,” katanya.

Tiada ulasan: