Jumaat, 10 Disember 2021

Orang ramai kerumun kaunter bayaran kerana diskaun saman trafik cetus kebimbangan Covid

MALAYSIA NOW

Walaupun saman boleh dibayar secara dalam talian, ramai pengguna mengadu pelayan dalam talian lembab berikutan trafik pengguna yang tinggi.

Puluhan ribu penduduk Lembah Klang yang membanjiri balai polis dan pusat bayaran saman bagi menyambut tawaran diskaun saman trafik oleh kerajaan hari ini menimbulkan kebimbangan kluster Covid-19 baru bakal tercetus.

Pemeriksaan oleh MalaysiaNow di beberapa lokasi mendapati tiada penjarakan fizikal dilakukan selain barisan orang ramai yang ingin melakukan pembayaran melimpah hingga ke jalan raya sejak pagi tadi.

Di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), orang ramai dilihat sanggup menunggu selama beberapa jam di kaunter-kaunter bayaran bagi mendapatkan diskaun 80% bagi saman trafik yang diterima mereka.

Keadaan itu berlaku walaupun saman boleh diselesaikan menggunakan beberapa platform pembayaran secara dalam talian.

Namun ramai pengguna mengadu laman sesawang dalam talian lembab berikutan trafik pengguna yang tinggi ketika ini termasuk MyBayar yang merupakan platform rasmi polis.

Ulasan turut memenuhi media sosial memberikan respons terhadap suasana yang berlaku hari ini mengingatkan kes Covid-19 mungkin meningkat kesan kerumunan yang memenuhi lokasi-lokasi pembayaran.

Ramai juga dilihat turut mengingatkan mengenai kemunculan varian-varian Delta dan Omicron, sementara sebahagian lain menggesa pihak berkuasa kesihatan termasuk Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin untuk mengambil tindakan.

Diskaun sempena 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang menjadi slogan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob itu diumumkan semalam, tawaran itu bermula hari ini dan berakhir pada 12 Disember.

Pemandu kenderaan di Kuala Lumpur dan Putrajaya boleh mendapat diskaun sehingga 80%, sementara bagi mereka yang tinggal di negeri lain akan menikmati diskaun sebanyak kurang 70%.

Bagaimanapun, tawaran diskaun itu tidak termasuk saman sementara hadir mahkamah, atau kesalahan-kesalahan besar lain, ia juga tidak ditawarkan bagi kesalahan kenderaan berat dan pengubahsuaian ekzos.

Tiada ulasan: