Rabu, 8 Disember 2021

NGO cadang saman Petronas tuntut hak royalti petroleum

Oleh AIN MANAF
 


KOTA BHARU: Sekretariat Bertindak Profesional Anak Kelantan Tuntut Royalti (Pro Royalti) tidak menolak kemungkinan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Petronas jika hak rakyat Kelantan terus dinafikan.

Pengerusinya, Dato’ Dr Wan Zawawi Wan Ismail, berkata tindakan undang-undang akan diambil selepas pihaknya selesai mengumpul bukti berkenaan perkara itu.

Advertisement

Beliau juga berharap mendapat kerjasama kerajaan negeri untuk mendapatkan maklumat dan bukti yang jelas mengenai perkara tersebut.

“Sekiranya dapat mengumpul bukti, kita akan bawa kepada mahkamah bagi mendapatkan hak terhadap royalti petroleum.

“Kita turut mencadangkan kerajaan negeri supaya menubuh pasukan khas bagi mengkaji semula perjanjian antara kerajaan negeri dan Petronas yang ditandatangani pada 1975,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas mengadakan perjumpaan bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) di sini, hari ini.

Ketika di Dewan Rakyat baru-baru ini, Menteri Kewangan, Dato’ Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, dilaporkan berkata bahawa Petronas tidak akan membuat bayaran royalti tunai kepada mana-mana negeri di Semenanjung Malaysia, termasuk Kelantan.

Menurutnya, ini berdasarkan kedudukan medan pengeluaran petroleum yang beroperasi di luar perairan negeri Kelantan.

Bagaimanapun, katanya Kerajaan Persekutuan akan membuat pembayaran dalam bentuk wang ihsan.

Sebelum ini, kerajaan Kelantan pernah mengemukakan saman terhadap Petronas kerana enggan membayar royalti. Bagaimanapun saman itu, ditarik balik pada Oktober 2018 selepas kerajaan Pusat memberi komitmen akan membayar royalti.

Dr Wan Zawawi berkata, pihaknya meminta kerajaan mendapatkan khidmat juruukur antarabangsa bagi menentukan sempadan sebenar perairan Kelantan.

Selain itu, beliau mencadangkan penubuhan sebuah Jawatankuasa Khas Rundingan melibatkan semua pihak berkepentingan dalam isu tuntutan royalti.

“Tindakan dan usaha itu perlu dilakukan untuk mendapatkan hak rakyat Kelantan yang telah dinafikan sejak sekian lama,” katanya. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: