Selasa, 7 Disember 2021

Mukhriz bidas pemimpin UMNO membisu dalam isu tanah Kampung Baru


Ahli Parlimen (MP) Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir membidas pemimpin UMNO yang sebelum ini mempertahankan tanah di Kampung Baru yang membisu dalam isu pengambilan tanah melibatkan penduduk disitu baru-baru ini.

Mukhriz membangkitkan berhubung tawaran RM3,000 kaki persegi yang mahu diberikan kepada penduduk Kampung Baru tetapi sebaliknya penduduk yang diambil tanah mereka baru-baru ini hanya dibayar RM400 sekaki persegi.

“Apa sudah jadi dengan tawaran RM3,000 sekaki persegi untuk penduduk Kampung Baru?” soalnya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau membuat perbandingan dengan tawaran harga yang dibuat semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini yang lebih tinggi berbanding nilai yang dibayar kepada penduduk Kampung Baru yang menjadi kecoh di media sosial baru-baru ini“Projek Pembangunan Kampung Baru yang bernilai RM84 juta. Saya tahu di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan juga ada peruntukkan iaitu RM36 juta di bawah Perbadanan Pembangunan Kampung Baru.

“Zaman PH (Pakatan Harapan) dulu, PH telah menawarkan kepada pemilik tanah RM850 persegi dan dinaikkan kepada RM1,000 sekaki persegi,” katanya lagi.

Menurut Mukhriz, pembangkang ketika itu termasuk MP Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; MP Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dan MP Pekan, Datuk Seri Najib Razak mengatakan kerajaan tidak boleh menggunakan akta pengambilan tanah di Kampung Baru kecuali untuk membina kemudahan untuk orang ramai seperti hospital dan sebagainya.

“Mereka ini juga mendesak kerajaan membayar RM3,000 sekaki persegi kononnya tawaran RM1,000 satu penganiayaan kepada masyarakat Melayu yang menetap di situ.

“Hari ini, kita terima berita penduduk Kampung Bharu diarah mengosongkan unit mereka di Flat PKNS dan di rumah tanah persendirian dan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang kononnya pembela orang Melayu itu hanya menawarkan RM400 sekaki persegi. Jadi saya hendak tanya apa sudah jadi pada tawaran RM3,000 dulu?” soal beliau lagi.

Ujarnya lagi, kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri (PM) dari UMNO tidak perlu beretorik lagi dan menggesa mereka menunaikan janji untuk membayar RM3,000 sekaki persegi.

“Jika ini caranya, tidak mengejutkan tanah rizab orang Melayu hanya tinggal 12 peratus .

“Saya harap kerajaan ini bukan hanya retorik sahaja iaitu ‘put your money where your mouth is’ yang bermaksud untuk BN mengotakan janjinya menawarkan RM3,000 sekaki persegi,” katanya lagi.

Sebelum ini, beberapa MP UMNO membidas kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menawarkan pampasan RM1,000 sekaki persegi tetapi selepas menjadi dominan dalam kerajaan pusat, lain pula ceritanya.

Pada Julai 2021 lalu, penduduk di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru mula menerima surat Warta Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah 1960 yang memaksa mereka keluar dari tanah itu dengan pampasan.

Menurut laporan, pada 0g0s 2021 pula, tuan tanah yang terlibat diwajibkan menghadiri perbicaraan pertama pengambilan tanah dalam bulan itu juga.

Beberapa penduduk juga menunjukkan bukti surat warta kepada media berhubung arahan ke perbicaraan dan arahan keluar dari tanah mereka itu.

Persoalannya, mengapa begitu tergesa-gesa langkah pengambilan tanah ini dilaksanakan, malah nilai RM400 sekaki itu jika dibandingkan adalah terlalu rendah dan tidak masuk akal.

Malah, penduduk di Kampung Baru juga mengeluh dengan layanan pihak berkuasa yang agak keterlaluan dan seakan menghina mereka.

Pihak pemaju menampal notis Borang E oleh Pentadbir Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di dinding-dinding rumah buruk di Kampung baru bagi memberitahu tentang pengambil tanah mereka bermula dengan siasatan.

Notis yang ditampal di dinding rumah tentang proses pengambilan tanah penduduk Kampung Baru.

Tiada ulasan: