Rabu, 15 Disember 2021

MP kerajaan sokong PM habiskan penggal sehingga 2023, tolak PRU awal


Kelab Penyokong Kerajaan Keluarga Malaysia (BBC) yang terdiri daripada Ahli-ahli Parlimen kerajaan mengumumkan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan menolak sebarang usaha yang cuba mengugat pentadbiran kerajaan sedia ada.

Pengerusinya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata mereka memberi sokongan kepada Ismail Sabri sehingga habis penggal pada 2023 dan menolak sebarang usaha untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU) awal.

“Kami menyokong penuh kepimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, mudah-mudahan beliau dapat menerajui kerajaan hinggalah habis penggal.

“(Habis) penggal itu sehingga 2023, ya. Jadi keadaan terus stabil, terus mantap dan kukuh,” katanya semasa sidang media petang tadi di bangunan Parlimen.

Tajuddin berkata MP blok pembangkang juga menyokong kerajaan Ismail Sabri, ia terbukti apabila Bajet 2022 yang dibentangkan sebelum ini sudah diluluskan selepas memperoleh majoriti diperlukan dalam Dewan Rakyat.

“Kerajaan ini mendapat sokongan daripada semua sebagaimana yang kita semua sedia maklum bukan sahaja dari pihak kerajaan yang menyokong tetapi pihak pembangkang juga.

“Pakatan Harapan pun telah berjanji dan menyokong kerajaan ini dan PM… Kita ucap terima kasihlah kepada pihak pembangkang, ini adalah politik matang baharu yang dibawa oleh Perdana Menteri,” katanya lagi.

Jelasnya lagi, kerajaan dipimpin oleh Ismail Sabri selama 100 hari sudah membuktikan kemampuannya dalam menangani isu yang melibatkan kepentingan rakyat, disamping kejayaan dalam melawan penularan wabak Covid-19.

“Kita berharap beliau akan terus memimpin kerajaan, pemimpin Kabinet untuk memberikan fokus kepada usaha-usaha membela rakyat untuk mengatasi masalah-masalah seperti Covid-19 dan juga masalah ekonomi rakyat dan lain-lain yang sewajarnya menjadi tumpuan kepada kerajaan dan kita.

“Kami menaruh kepercayaan yang tinggi kepada beliau sebagai Perdana Menteri kerana beliau telah menunjukkan prestasi yang sangat baik dalam tempoh 100 hari,” katanya lagi.

Ujarnya, penurunan kes jangkitan baharu yang mendadak adalah hasil langkah yang diambil oleh pentadbiran Ismail Sabri yang cekap dan efisien dalam menguruskan krisis dihadapi negara.

Sumber Agenda Daily memberitahu sebelum ini, semasa mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang diadakan baru-baru ini selepas keputusan Mahkamah Rayuan melibatkan Datuk Seri Najib Razak dikekalkan, terdapat beberapa ahli MT yang berada dalam kem Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendesak supaya PRU disegerakan.

Perkara itu membimbangkan kem Ismail Sabri yang berkemungkinan bakal disingkir dan akan menjadi PM tersingkat dalam sejarah.

Terdahulu, Agenda Daily melaporkan kes Najib menjadi topik utama dikalangan ahli MT UMNO yang menghadiri mesyuarat tersebut, majoriti tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut dan terdapat beberapa ahli MT yang membangkitkan langkah untuk mempercepatkan PRU susulan keputusan Mahkamah Rayuan paginya itu.

Ahli MT yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan terdiri daripada kumpulan sebelah kem Zahid yang diketahui juga berdepan pertuduhan di mahkamah sama seperti yang dihadapi Najib.

Untuk rekod, Zahid dan Najib berdepan puluhan pertuduhan di mahkamah yang sedang berjalan ketika ini.

Mesyuarat MT tersebut juga diadakan dengan tergesa-gesa, Zahid difahamkan mempertahankan Najib selepas keputusan mahkamah tidak memihak kepadanya.

“Zahid menyatakan rasa simpati terhadap hukuman yang dijatuhkan terhadap Najib, merasakan keputusan tersebut tidak adil dan berat sebelah,” kata sumber.

Tiada ulasan: