JAWATANKUASA Disiplin Maktab (JDM) menamatkan pengajian 10 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang terlibat dalam kes buli baru-baru ini.

Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf berkata,  mesyuarat JDM telah mengkaji kes tersebut dengan teliti dan mengambil keputusan menamatkan pengajian pelajar terbabit berkuatkuasa hari ini.

“Pihak MARA mengambil serius kejadian buli yang berlaku minggu lalu itu dan hukuman yang diputuskan ini menunjukkan pihak kita tegas dan tidak berkompromi terhadap kesalahan buli dalam kalangan pelajar-pelajar di bawah mana-mana Institusi Pendidikan MARA,  IPMA mahupun tajaan MARA,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Azhar berkata, ibu bapa pelajar terlibat telah dimaklumkan keputusan oleh jawatankuasa berkenaan yang dibuat berdasarkan Panduan Pengurusan Disiplin Pelajar MRSM.

“Keputusan ini kita harap ia bukan sahaja menjadi satu pengajaran kepada pelajar yang terlibat, tetapi juga kepada pelajar-pelajar lain agar tidak berlaku lagi perbuatan salah laku di mana-mana institusi pendidikan di bawah MARA.

‘’Kita di MARA tentunya hendak melahirkan modal insan yang bukan sahaja cemerlang dari segi ilmu pengetahuan tetapi juga mempunyai sahsiah diri dan tingkah laku peribadi yang baik dan diterima oleh masyarakat,’’ tegasnya.

MARA tegas Azhar lagi,  komited dalam menangani kes-kes buli dengan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) melalui penguatkuasaan peraturan sekolah.

‘’Selain melaksanakan pemantauan secara berterusan segala aktiviti pelajar termasuk proses pembelajaran di dalam kelas bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang,’’ katanya.