Selasa, 21 Disember 2021

Mangsa banjir pilu tak mampu ganti perabot, barangan elektrik rosak

Zeanaaiama mohd Yusof
Sofa dan perabot yang rosak terpaksa dibuang akibat rumah dinaiki air.

KLANG: Melly Yohanus terus bergenang air mata sebaik ditanya jumlah kerugian yang ditanggungnya akibat kerosakan perabot, barangan elektrik dan keperluan lain dalam rumah musnah kerana ditenggelami air separas lutut di kawasan perumahannya Jumaat lepas.

“Saya kerja kilang. Suami kerja pengawal keselamatan. Gaji kami kecil, cukup-cukup makan saja. Mana kami nak cari duit nak beli barangan rumah yang baharu?

“Guna apa yang ada sahaja, nak beli baharu jauh sekali. Kami terjejas teruk selepas PKP (perintah kawalan pergerakan), sekarang banjir pula,” katanya sebak kepada FMT.

Melly, 49, antara 2,000 penduduk di Taman Klang Perdana, Sementa yang terjejas akibat banjir kilat Jumaat lalu. Wanita itu tidak menyangka air akan naik ke paras lutut dalam masa singkat.

 

Kabinet dapur tidak boleh digunakan lagi kerana kembang 

selepas terkena air bah.

“Sofa saya kena buang. Katil, tilam, almari, kabinet dapur semua sudah kembang, terpaksa saya buang. Kalau simpan, nanti akan tumbang bahayakan anak-anak.

“Saya tak boleh fikir lagi mana wang saya mahu cari untuk gantikan apa yang sudah rosak,” keluh Melly yang hanya meraih gaji pokok RM1,200 sebulan.

Lebih mengharukan, bulan depan, Melly perlu mengadakan majlis persandingan anak perempuannya yang diijab kabul Mei lalu.

Anak perempuan Melly Yohanus yang diijab kabul Mei lalu.

“Hampir semua barang kenduri ditenggelami air. Ada beberapa barang yang sempat kami selamatkan. Apa nak buat, majlis tetap kena jalan sebab sudah banyak kali tangguh,” katanya.

Sementa adalah antara kawasan teruk terjejas banjir, selain Kapar, Meru, Klang, Shah Alam dan Hulu Langat di Lembah Klang.

Di kebanyakan kawasan, air mula surut dan mangsa banjir pulang dari pusat pemindahan sementara (PPS) untuk membersihkan rumah mereka.

Raman Muniandi, 47, gelisah memikirkan perabot dan barang dalam rumahnya yang terpaksa dibuang kerana ditenggelami air.

Kad OKU Raman Muniandi. Beliau terpaksa bergantung hidup 
kepada bantuan kerajaan dan wang belanja yang diberikan anak.

Pemegang kad orang kurang upaya (OKU) itu berkata, keadaan kesihatannya membataskan pergerakannya untuk membantu ahli keluarga membersihkan rumah.

“Saya sakit, tidak bekerja. Isteri pun (tidak bekerja). Setiap bulan anak-anak akan berikan wang belanja. Sekarang banjir pula, mana kami mahu cari duit untuk beli perabot dan barangan elektrik baharu?

“TV, sofa, tilam, meja di dapur semua kena buang. Kami belum selesai kemas rumah. Banyak lagi yang kena buang. Kami harapkan bantuan.”

Jirannya, Abdul Malek Mohd Salleh, 53, turut mengalami nasib sama. Bapa kepada enam anak itu berkata, jumlah kerugian yang dialaminya mencecah ribuan ringgit.

“Duit simpanan tu ada, tapi kami simpan untuk makan minum dan keperluan anak. Tak ada lebih untuk ganti perabot baharu dan sebagainya.

“Anak saya seorang sudah kahwin. Yang lain masih di sini. Baju anak-anak semua dah terendam dalam air, kena basuh dulu semuanya. Kami baru balik dari PPS, baju anak-anak pakai apa yang ada sahaja.”

Tinjauan wartawan FMT di kawasan sekitar mendapati rata-rata penduduk sibuk mencuci dan mengemas rumah masing-maisng.

Penduduk sibuk membersihkan rumah.

Kelihatan perabot dan barangan rumah yang rosak bertimbun di depan rumah masing-masing, menunggu masa untuk dibuang.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan bantuan sehingga RM1,000 kepada keluarga yang terjejas akibat banjir.

Tiada ulasan: