Rabu, 15 Disember 2021

Lelaki maut dirempuh MPV di pasar malam

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
DALAM kejadian kira-kira pukul 7.30 malam, Tan Kay Sniah maut di lokasi di pasar malam di Kampung Lapan, Bachang, Melaka akibat kecederaan parah di kepala.

MELAKA: Seorang lelaki maut selepas dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang hilang kawalan di pasar malam di Kampung Lapan, Bachang di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu, mangsa, Tan Kay Sniah, 59, maut di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintenden Hasan Basri Yahya berkata, kemalangan berlaku selepas MPV tersebut yang dipandu seorang peniaga pasar malam berusia 71 tahun hilang kawalan.

Katanya, MPV itu terbabas ketika keluar dari tapak parkir berhadapan Medan Selera Taman Kenanga menghala ke Jalan Tokong.

“Ketika memandu keluar, warga emas berkenaan gagal mengawal MPV tersebut dan merempuh mangsa yang sedang berjalan kaki serta tiga buah kenderaan lain di hadapannya.

“Akibat kemalangan itu, pejalan kaki tersebut disahkan maut di lokasi akibat kecederaan parah, manakala mangsa lain tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Tambahnya, selepas kemalangan tersebut, MPV terbabit turut melanggar sebuah lori ketika cuba mengundurkan kenderaan dari lokasi.

Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan.

Tiada ulasan: