Jumaat, 17 Disember 2021

Lelaki ditembak mati bersenjatakan senapang patah

Seorang lelaki maut ditembak polis ketika cuba lari daripada pemeriksaan dalam kejadian di Jalan Simpang Tiga, Kuching, Sarawak malam tadi.

SEORANG lelaki yang mati ditembak polis di persimpangan Jalan Simpang Tiga – Batu Lintang di Kuching, semalam didapati bersenjatakan senapang patah.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, anggota polis trafik dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuching telah melepaskan dua das tembakan ke arah suspek untuk mempertahankan diri.

Menurut Aidi, anggota tersebut telah melepaskan tiga das tembakan ke arah tayar kenderaan suspek demi menjaga keselamatan dan harta benda orang awam sekali gus menyebabkan kenderaan tersebut berhenti.

“Selepas itu, anggota polis berkenaan bersama rakan setugas cuba menghampiri kenderaan suspek untuk tujuan pemeriksaan.

“Tiba-tiba, anggota berkenaan terlihat suspek memegang selaras senjata api.

“Untuk mempertahankan diri, anggota itu telah melepaskan dua das tembakan ke arah suspek.

“Dalam kejadian tersebut, pihak polis telah merampas selaras senapang patah dan beberapa butir peluru hidup daripada dalam kenderaan suspek. Suspek disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai kejadian tersebut, Aidi memaklumkan, semasa anggota tersebut bersama empat rakan setugas sedang menjalankan tugas rondaan telah terserempak dengan sebuah kenderaan dipandu dalam keadaan mencurigakan.

“Anggota terbabit telah mengarahkan suspek berhenti untuk diperiksa namun suspek telah memecut kenderaannya dan cuba melarikan diri.

“Apabila sampai di persimpangan lampu isyarat di Jalan Simpang Tiga, kenderaan suspek telah melanggar lima buah kenderaan awam,” jelas beliau.

Aidi berkata, semakan mendapati suspek mempunyai 14 rekod jenayah lampau dengan pelbagai kesalahan jenayah seperti mencuri kenderaan, penipuan dan penyalahgunaan dadah.

Semalam, media melaporkan polis menembak mati seorang pemandu kereta dipercayai cuba merempuh sepasukan polis yang sedang melakukan rondaan.

Dalam kejadian kira-kira 7.40 malam itu, lelaki yang memandu kereta jenis Proton Saga itu dikatakan berada dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak memecut laju kenderaannya ketika diarahkan polis untuk berhenti bagi tujuan pemeriksaan oleh anggota polis yang bertugas.

Polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan selepas suspek cuba melanggar beberapa anggota trafik yang mahu menahan suspek.

Tiada ulasan: