Khamis, 16 Disember 2021

Lelaki ditembak cuba rempuh polis

Seorang lelaki maut ditembak polis ketika cuba lari daripada pemeriksaan dalam kejadian di Jalan Simpang Tiga, Kuching, Sarawak malam tadi.

POLIS menembak mati seorang pemandu kereta dipercayai cuba merempuh sepasukan polis yang sedang melakukan rondaan di persimpangan Jalan Simpang Tiga – Batu Lintang di Kuching, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 7.40 malam itu, lelaki yang memandu kereta jenis Proton Saga itu dikatakan berada dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak memecut laju kenderaannya ketika diarahkan polis untuk berhenti bagi tujuan pemeriksaan oleh anggota polis yang bertugas.

Difahamkan, suspek yang masih belum dikenal pasti identiti itu telah melanggar beberapa kenderaan dalam usahanya melarikan diri di persimpangan lampu isyarat hingga menyebabkan beberapa kenderaan rosak.

Polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan selepas suspek cuba melanggar beberapa anggota trafik yang mahu menahan suspek.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Senior Asisten Komisioner Lukas Aket ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata siasatan lanjut sedang dijalankan di lokasi.

Sementara itu, dalam satu kenyataan hari ini, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, tindakan anggota polis melepaskan tembakan ketika cuba menahan sebuah kereta di Jalan Simpang Tiga malam tadi adalah kerana kereta itu dipandu dalam keadaan bahaya.

“ Lebih kurang 7.20 malam tadi di persimpangan lampu isyarat Jalan Simpang Tiga, anggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching melepaskan tembakan semasa cuba menahan sebuah kereta Proton Saga warna kelabu yang mencurigakan dan dipandu dalam keadaan bahaya,” katanya.

Beliau berkata pegawai perubatan mengesahkan pemandu kereta itu iaitu lelaki tempatan berumur lingkungan 24 tahun telah meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, siasatan kes itu akan dilakukan menyeluruh mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Sementara itu, Aidi berkata untuk melengkapkan kertas siasatan kes itu, anggota-anggota polis terlibat telah ditukarkan bertugas ke bahagian pentadbiran. 

“Lima (anggota yang terlibat)…semua daripada Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching,” katanya. 

Bernama malam tadi melaporkan polis menembak mati seorang  lelaki yang memandu kereta jenis Proton Saga selepas dipercayai cuba merempuh sepasukan polis yang sedang melakukan rondaan di Jalan Simpang Tiga, di sini.

Kejadian turut menyebabkan beberapa kenderaan milik orang awam rosak dilanggar oleh suspek yang dikatakan cuba melarikan diri.— BERNAMA

Tiada ulasan: