MELAKA: Konsep jualan ikan segar bersama beberapa pilihan lain seperti sotong, udang dan lala yang digabungkan menjadi satu set lengkap semakin menjadi pilihan pembeli di Gerai Ikan Pulau Gadong di Klebang Besar dekat sini.
Pemilik gerai, Ungku Mohd. Hadi Ungku Mohd. Noor, 37, berkata, dia mula menjual ikan secara set sejak Julai lalu dan pilihan ditawarkan berbeza mengikut bekalan ikan yang diterima daripada pembekal.
Katanya, ikan-ikan besar seperti tenggiri, merah dan jenahak akan digabungkan bersama ikan kecil antaranya pelaling atau kembung, sotong serta udang dan dijual pada harga berpatutan.
“Contohnya set ikan tenggiri bersama pelaling, udang dan sotong dijual pada harga RM35. Set paling mahal yang saya pernah jual adalah set ikan merah yang berharga RM55.
“Sambutan orang ramai sangat menggalakkan dan ada masanya tidak menang tangan kerana permintaan melebihi apa yang saya tawarkan. Setakat ini saya mampu menjual 10 hingga 20 set ikan sehari.
“Kelebihan menjual secara set ialah saya tidak perlu menyimpan ikan yang tidak habis dijual. Kesegaran ikan yang dijual adalah keutamaan saya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Tambah Ungku Mohd. Hadi, dia menggabungkan beberapa pilihan dalam satu set bagi memberi lebih idea kepada pelanggan tentang jenis masakan yang sesuai.
Menurutnya, ikan yang dijual secara set sering menjadi pilihan wanita berkerjaya kerana ia lebih mudah dan cepat.
“Ramai pelanggan saya dalam kalangan wanita yang bekerja. Ada pelanggan yang membeli sehingga lima set untuk rakan-rakan sekerja. Dari situ mereka akan bercerita dan tularkan mengenai kedai saya di media sosial.
“Sebab itu pelanggan saya tidak terhad dalam Melaka sahaja kerana ramai pelancong luar juga akan mendapatkan set ikan ini pada hujung minggu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan