Jumaat, 17 Disember 2021

Kerajaan juga perlu ‘dirotan’

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
 

TIDAK ada ibu atau bapa yang tidak sayang kepada anak-anak mereka. Setiap dari mereka mahukan anak mereka menjadi anak yang baik dan berjaya dalam hidup. Mereka menjaga anak-anak mereka bagaikan menatang minyak yang penuh. Walau bagaimanapun untuk mendidik anak-anak, kadang-kala mereka terpaksa menghukum mereka. Pada keadaan yang tertentu, hukuman ini bermakna merotan.

Walaupun merotan ini menyakitkan namun begitu ini bukan bermakna mereka tidak sayang kepada anak-anak mereka. Tetapi kerana sayang mereka dirotan. Walaupun terdapat cara-cara lain untuk menghukum atau mendidik tetapi merotan adalah cara yang telah digunakan sejak zaman berzaman.

Begitu juga dengan kerajaan. Kita mungkin sayang kepada kerajaan dan kita mahu kerajaan tersebut kekal tetapi ini tidak bermakna kita berdiam diri walau apa yang kerajaan lakukan. Kita perlu bersuara apabila terdapat keperluan. Seperti anak-anak kita, kerajaan juga perlu ‘dirotan’ dari masa ke semasa untuk memastikan ia menjadi kerajaan yang baik.

Anak-anak jika melakukan kesalahan jika tidak ditegur maka dia tidak akan menyedari akan kesalahan yang telah dilakukan. Kemungkinan besar mereka akan terus melakukannya sehingga dewasa. Perbuatan yang diulang-ulang tanpa ditegur oleh sesiapa maka akan menjadi tabiat yang susah hendak diubah. Akhirnya ia akan merosakkan mereka.

Memang benar kerajaan bukan anak-anak kecil namun begitu manusia tidak sepi dari sebarang silap dan salah. Begitu juga kerajaan. Zaman di mana rakyat menerima apa sahaja yang kerajaan putuskan atau lakukan telah lama akhir. Zaman di mana mulut rakyat boleh ditutup dengan program-program bantuan dan sumbangan juga telah lama akhir. Rakyat hari ini mahukan justifikasi. Setiap tindakan kerajaan akan dibincangkan dengan terperinci di media sosial.

Jika kita benar-benar sayang kepada kerajaan maka tanggungjawab kita untuk membuat teguran. Ini lebih baik dari kerajaan melakukan kesilapan dan kesalahan yang akan mencetuskan kemarahan rakyat. Akhirnya apabila tiba Pilihan Raya Umum kerajaan tersebut akan tumbang. Lihat apa yang telah terjadi kepada Barisan Nasional yang telah tumbang pada Pilihan Raya Umum 2018 di dalam keadaan mereka cukup yakin untuk mengekalkan kuasa. Mungkin ketika itu terdapat lebih ramai ‘kaki ampu’ dari mereka yang memberikan penilaian yang realistik mengenai prestasi mereka.

Bukan senang untuk menjadi kerajaan dan rakyat biasa seperti kita tidak mungkin mengetahui sepenuhnya apa yang dilalui oleh mereka di dalam kerajaan. Walau bagaimanapun ini tidak bermakna pandangan rakyat tidak mempunyai apa-apa nilai. Rakyat biasa boleh memberi pandangan di luar kotak. Perspektif dari atas tidak semestinya sentiasa betul. Mungkin ada masanya perspektif dari bawah adalah lebih tepat. Tambahan pula rakyat biasa yang akan menjadi penerima polisi-polisi yang akan dilaksana. Justeru itu mereka berhak bersuara.

Jangan pula kerana anda merupakan ahli kepada parti yang menjadi sebahagian dari kerajaan anda merasakan anda tidak berhak untuk bersuara. Menerima apa sahaja yang dilakukan. Menyimpan segala rasa tidak puas hati. Hak anda sebagai rakyat untuk bersuara tidak boleh dirampas oleh sesiapa. Jangan sampai ada yang berpandangan kita langsung tidak boleh menegur kerajaan. Walau bagaimanapun adab dan akhlak perlu dijaga. Di dalam solat sekalipun makmum boleh menegur jika imam melakukan kesilapan. Islam tidak mengajar kita untuk berdiam diri tetapi ada cara yang sesuai.

Teguran kita adalah untuk mengukuhkan kerajaan walaupun dibuat secara terbuka. Tetapi hati-hati dengan mereka yang membuat teguran bertujuan untuk meruntuhkan kerajaan. Mereka sengaja mencetuskan provokasi untuk menaikkan kemarahan rakyat. Kita hendaklah berhati-hati agar tidak terperangkap. Mereka ini akan mencampak satu isu agar rakyat menyambutnya. Mereka sendiri tidak akan membawa isu tersebut tetapi mengharapkan rakyat yang akan memanaskan keadaan. Semua ini dilakukan agar rakyat benci kepada kerajaan dan akhirnya akan menyokong mereka. Mereka sungguh licik sehingga ramai dari kita yang tidak menyedarinya.

Dalam hidup kita perlu bijak. Ada orang kata, ‘Kalau kita tunjuk kita sayang sangat, nanti orang tidak peduli kepada kita.’ Tapi itu orang yang kata, bukan saya. Terpulang kepada anda untuk menilai sama ada ia relevan atau tidak.

(*) DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: