PETALING JAYA: Penganalisis politik menjangkakan kesengsaraan dan kemarahan rakyat terhadap tindakan lewat kerajaan dalam menangani isu banjir khususnya di Lembah Klang akan “terbawa-bawa” ketika memangkah kertas undi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Menurut Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia, imej Putrajaya yang dipimpin oleh Ismail Sabri Yaakob kini terjejas di mata masyarakat susulan beberapa insiden jelik seperti “kehilangan” menteri bertanggungjawab di lokasi banjir.
Jelasnya, keengganan Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun membenarkan perbahasan usul bencana banjir yang setakat ini meragut lebih 10 nyawa pada sidang Dewan Rakyat semalam juga menambah lagi kemarahan rakyat.
“Walaupun tiada dalam agenda asal, Dewan Rakyat sepatutnya bersikap profesional mewakili rakyat, bukan ahli politik pemerintah yang seolah-olah menjadi penghadang untuk dikritik secara terbuka dalam dewan.
“Apa fungsi Dewan Rakyat jika ia gagal memberi maklum balas terhadap isu utama rakyat yang berlaku tanpa dirancang seperti banjir, Speaker kena pandai menimbang keperluan rakyat dengan birokrasi,” katanya kepada FMT.
Ahmad Fauzi menambah kegagalan jentera pihak berkuasa menangani isu kecemasan sehingga menyebabkan rakyat hidup dalam keadaan sengsara harus dibincang pada peringkat tertinggi negara, iaitu di Dewan Rakyat.
“Bukan disapu ke bawah permaidani. Di sesetengah tempat seperti Hulu Langat, suasananya sudah menyerupai keadaan pascatsunami (pernah melanda negara pada 2004),” tegasnya.
Azmi Hassan pula berpendapat, Ismail seharusnya mengambil iktibar terhadap kejatuhan kerajaan Muhyiddin Yassin yang hanya mampu bertahan selama 17 bulan kerana didakwa gagal menangani keperitan rakyat dalam berdepan penularan wabak Covid-19.
Beliau berpandangan, Ismail dan Jemaah Menterinya kini terpalit dengan sentimen sama, iaitu gagal menangani bencana kerana lambat bertindak dan hanya muncul selepas 24 jam banjir melanda ibu negara menyebabkan ribuan rakyat terkandas di atas bumbung kediaman masing-masing, malah ada yang bertahan berhari-hari tanpa makanan.
Tegas beliau, kerajaan seharusnya mempamerkan kredibiliti dan mengetahui apakah yang terjadi di bawah dengan mengarahkan tindakan segera diambil, bukannya ketika keadaan sudah bertambah buruk.
“Sekarang ini kita bermain dengan sentimen kerana mereka yang terlibat ini ramai, banyak negeri yang terlibat…kalau kita lihat, lewat malam Sabtu baru nampak kepimpinan tertinggi mengambil serius perkara ini.
“Jadi di sini (imej kerajaan) tidak baik kerana sudah terjadi seperti sebelum ini jatuhnya kepimpinan itu apabila kerajaan Muhyiddin dibelenggu dengan kegagalan menangani Covid-19,” katanya.
Sidang Dewan Rakyat semalam kecoh apabila Azhar tidak membenarkan beberapa Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan membahaskan isu banjir yang melanda enam negeri sejak minggu lalu disebabkan ia tidak terkandung dalam aturan urusan mesyuarat (AUM).
Beberapa Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang kecewa dengan keputusan itu membuat sidang media di Parlimen dengan berkata, Azhar sepatutnya memberi sedikit ruang dengan menggunakan peruntukan yang terkandung dalam peraturan mesyuarat untuk membolehkan isu penting itu dibahaskan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan