Tak wajar biar penduduk Kampung Baru cari penempatan di tempat lain
KUALA LUMPUR – Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd Azmi Abdul Hamid berpandangan, isu utama dalam pembangunan Kampung Baru di Kuala Lumpur adalah pentingnya menjamin penempatan orang Melayu di ibu negara.
Beliau berkata, walaupun kerajaan melalui Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu sudah merancang pembangunan di kawasan tersebut secara ‘parcel’, namun perkara paling penting adalah ia tidak berkonsep memindahkan penduduk Melayu dikeluarkan dari perkampungan tersebut.
“Yang terbaik ialah menyusun semula perkampungan tersebut secara berperingkat dengan lebih teratur dengan meningkatkan prasarana asas yang lebih sempurna dan warga Melayu dapat terus kekal di penempatan Kampung Baru dengan maju dan selesa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pembangunan Kampung Baru di Kuala Lumpur tidak harus hanya tertumpu kepada menetapkan harga pampasan dengan konsep ‘willing buyer and willing seller’.
“Kami berpendapat sementara isu harga tanah dan perumahan sedang dirundingkan, konsep pelan induk pembangunan oleh PPKB sewajarnya mengguna pendekatan mengekalkan warga Melayu di kawasan tersebut sekali gus meningkatkan kemudahan prasarana,” katanya.
Beliau menegaskan, konsep membeli tanah dengan mengambil alih tanah di Kampung Baru dan kemudian membiarkan penduduk mencari penempatan di tempat lain adalah tidak wajar.
Ini kerana, katanya, banyak penempatan orang Melayu di Kuala Lumpur kini sudah tidak lagi wujud apabila pendekatan membeli dan mengeluarkan mereka dari tempat tersebut digunakan.
“Kampung Kerinci, Kampung Abdullah Hukum adalah contoh bila orang Melayu akhirnya terpaksa tinggal di flat yang sesak dan tidak selesa setelah dipindahkan dari kawasan asal mereka,” katanya.
Justeru, Mohd Azmi mengesyorkan supaya Rancangan Malaysia ke-12 yang dikatakan memperuntukkan RM1.5 bilion untuk membina dan meningkatkan infrastruktur di Kampung Baru itu wajar dilaksanakan.
“Bertahun-tahun Kampung Baru menempatkan orang Melayu di kawasan itu menjadikan ianya semakin padat dan susunan perumahan tidak lagi teratur sementara insfrastruktur asas tidak lagi memadai.
“Apa yang perlu ialah Kampung Baru disusun semula secara berperingkat yang tetap mengekalkan orang Melayu di situ sebagai kampung dalam kota yang unik.
“Ciri perkampungan orang Melayu di tengah kota Kuala Lumpur yang bersih, selesa dan maju seharusnya dirancang dengan baik agar Kuala Lumpur tidak terus melenyapkan khazanah hartanah Melayu yang perlu dipertahankan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan